Skip to main content

Rencana

Situasi Syahmi mirip Bale?

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

syahmi.jpg
Ketika aksi Liga Super di antara Selangor dan PKNP FC pada 20 April 2019 lalu, penulis tertumpu kepada kelibat Syahmi Safari.

Penulis mengenali pemain berusia 21 tahun itu sejak dia bersama skuad Bawah 19 Tahun negara dan Harimau Muda C pada 2015.

Ketika itu, Syahmi lebih banyak beraksi sebagai pemain sayap kanan atau kiri bersama barisan muda negara.

Sejak bersama skuad utama Selangor pada 2017, Syahmi juga pernah beraksi di posisi tengah ketika skuad Gergasi Merah di bawah kendalian P. Maniam.

Bagi penulis walaupun dia beraksi sebagai bek kanan utama skuad senior negara, Syami lebih efektif sebagai pemain tengah atau sayap kanan dan kiri.

Pandangan penulis juga berlandaskan aksi Syahmi Sabtu lalu apabila pengendali Selangor, B. Satianathan mengarahkan pemain kelahiran Kuala Selangor itu beraksi sebagai sayap kanan pada pertengahan babak kedua.

Perubahan posisi Syahmi menyaksikan dia lebih banyak bergerak membantu jentera serangan dan tengah Selangor.

Hasilnya, Syahmi turut meraih gol kedua Selangor berdepan PKNP dan sekali gus, mengesahkan kemenangan pasukannya.

Penulis bukan seorang jurulatih yang mempunyai lesen kejurulatihan profesional, namun penulis berasa ia sedikit merugikan jika Syahmi kekal sebagai bek kanan sepanjang kariernya.

Benar, Syahmi seorang pemain serba boleh yang mampu beraksi di mana-mana posisi mengikut percaturan jurulatih.

Tetapi penulis melihat Syahmi mempunyai ciri-ciri menyerang yang berkualiti jika beraksi di bahagian tengah atau sayap secara tetap.

Penulis percaya, jika Satianathan menurunkan Syahmi di bahagian sayap atau tengah, dia mampu menambah kestabilan buat skuad Selangor.

Apa pun, Satianathan pasti lebih mengenali kualiti pemain pasukannya dan sudah pasti dia lebih arif membentuk taktikal terbaik buat Selangor.

Cuma penulis optimis, jika Syahmi beraksi di posisi yang lebih “offensive”, dia mampu menyerlahkan lagi potensi dan kualiti yang dimilikinya.

Syahmi mungkin dalam situasi sama seperti bintang Real Madrid, Gareth Bale, ketika pemain Wales itu bersama Tottenham Hotspur suatu ketika dahulu.

Daripada seorang bek kiri, bekas pengurus Spurs, Harry Redknapp, mengubah posisi Bale ke sayap kiri dan ia membolehkannya mencapai potensinya sehingga berhijrah ke Real Madrid.

Apakah kita melihat transformasi positif sama buat Syahmi seperti yang berlaku pada Bale?

Bagi penulis, mengapa tidak?

Advertisement

Must Watch Video