Mucha fuerza, Marco! (Kuatkan semangat, Marco!)
Pemain-pemain Real Madrid mengenakan jersi memanaskan badan yang tertera perkataan berkenaan di Stadium MetLife sebelum perlawanan dengan Atletico Madrid di New Jersey, Amerika Syarikat semalam, untuk memberi semangat kepada Marco Asensio yang akan menjalani pembedahan lutut.
Kira-kira dua jam kemudian, ternyata barisan kendalian Zinedine Zidane itu yang lebih layak menerima ucapan itu, termasuk daripada rakan sepasukan mereka, Asensio, yang kecederaannya mungkin tidak seberat luka yang dialami Sergio Ramos dan rakan-rakan.

Sejurus berakhir perlawanan yang dimenangi musuh setempat, Atletico, itu 7-3 – anak-anak buah Diego Simeone itu mendahului 5-0 dalam separuh pertama – tanda pagar #ZIDANEOUT sudah mula terlihat sambil Los Blancos diumpamakan sebagai sebuah pasukan ‘dinosaur’ – tua, besar dan sukar bergerak pantas.
Akhbar harian sukan Sepanyol, MARCA, menyimpulkan perlawanan Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) itu akan sentiasa diingati terhadap bagaimana Real Madrid dibolosi tujuh kali walaupun ia sekadar satu aksi pemanas badan pramusim, dengan saingan sebenar hanya akan bermula dalam kunjungan ke Celta Vigo, 17 Ogos ini.
Ia, ringkasnya, bukan setakat melukakan hati mereka, lebih daripada itu meranapkan ego besar himpunan besar jutawan Galacticos berkenaan.
Perihal Real tewas kepada Atleti bukan lagi satu “keterasingan” melainkan ia satu kelaziman – Atleti juga menewaskan Real 4-2 dalam Piala Super Eropah di bawah Julen Lopetegui di A. Le Coq Arena di Tallinn, Estonia pada 16 Ogos 2018.
Selepas tiga perlawanan pramusim setakat ini, dengan dua kekalahan dan satu seri, di sebalik ketibaan Eden Hazard (Chelsea), Luka Jovic (Eintracht), Ferland Mendy (Lyon), Rodrygo (Santos) dan Eder Militao (Porto), Real belum banyak berganjak dari takuk lama.
Seperti disimpulkan oleh Ramos: “Anda boleh tewas dengan banyak cara tapi bukan seperti ini.”

Satu tinjauan pendapat oleh MARCA pula merumuskan gerombolan Madridista dan Madridismo kini mempertanggungjawabkan semua orang – daripada pemain, Zidane hinggalah kepada presiden, Florentino Perez, dengan berpendapat Real tidak melakukan secukupnya.
Dan di sebalik Zidane cuba mententeramkan keadaan, pengurus berusia 47 tahun itu menjadi sasaran kecaman kerana didakwa takut melakukan perubahan – lantas masih bergantung harap kepada dinosaur dalam pasukan.
Kesebelasan permulaan Real tidak banyak bertukar daripada yang menduduki tangga ketiga LaLiga musim lalu – dengan pengecualian Hazard – sambil ketibaan baru pula hanya memanaskan bangku pemain simpanan.
Zidane terus menagih kudrat barisan pemenang Liga Juara-Juara tiga musim berturut-turut – dengan pengecualian Cristiano Ronaldo – dengan Toni Kroos dan Luka Modric di bahagian tengah, serta Dani Carvajal, Sergio Ramos, Marcelo dan sama ada Raphael Varane atau Nacho Fernandez di pertahanan.

Selepas kekalahan itu, dia harus pening untuk memutuskan siapa di antara Thibaut Courtois dan Keylor Navas yang layak menyarung jersi No. 1.
Musim lalu, Santiago Solari memperkenalkan beberapa muka baru dalam kesebelasan, termasuk Marcos Llorente, Sergio Reguilon dan Vinicius Junior.
Sekembalinya Zidane ke kerusi panas pengurus pertengahan Mac lalu, dia menyisihkan mereka untuk mengembalikan keutamaan buat Kroos, Modric dan Isco.
“Kami tidak bermula baik (dengan Atletico), kami kekurangan keamatan dan kami bolos tujuh kali,” sekadar itu yang mampu ditawarkan pengurus berkenaan.
Salah siapakah semua itu, Zidane? – tanya MARCA lagi.
Musim baru belumpun bermula tapi Real dilihat sudah melawan arus dari awal lagi.
Mucha fuerza, Los Blancos! #HalaMadrid