Persoalan ini seringkali menjurus kepada pengurusan pasukan atau penyokong. Sebab musababnya mungkin berkaitan tetapi apa yang dipertimbangkan kelab dan peminat setia boleh jadi berbeza.

Seperti mana berbezanya implikasi dari tiba lewat ke stadium sendiri yang menyaksikan Manchester United bakal terima hukuman dari Kesatuan Bolasepak Eropah, UEFA - berbanding prestasi terbaharu iaitu seri tanpa jaringan dengan Valencia pada aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah itu.

Realitinya, masih ada penyokong The Red Devils yang gembira kerana gawang mereka tidak bolos atau meraih sekurang-kurangnya satu mata pada perlawanan kedua kumpulan H ini - tetapi ramai yang menyokong pendedahan Naib Pengerusi Manchester United, Ed Woodward untuk memantau secara serius peranan pengurus pasukan, Jose Mourinho.

Secara automatiknya kita memikirkan kebarangkalian United yang kini menghuni kedudukan pertengahan Liga Perdana Inggeris untuk menerima pengendali baharu - seperti mana pendirian sebahagian lagi penyokong yang kelihatan muak dan tidak senang dengan 'omong kosong' jurulatih dari Portugal ini.

United bagaimanapun mahu bersikap adil dan memberi ruang yang secukupnya untuk Mourinho membuktikan kemampuan mengendalikan pasukan - namun tekanan tinggi akan mula diletakkan berganda di bahu Mourinho menjelang pertemuan dengan Newcastle United hujung minggu ini.

Jelas dengan pendirian beberapa kumpulan berbeza pandangan The Red Devils dalam konteks ini?

Menyentuh mengenai masa depan United sekiranya perlu memendekkan jodoh dengan Mourinho - sebahagian besarnya mahu Zinedine Zidane yang masih belum terikat dengan mana-mana pasukan. Nampaknya, hatrik bekas pengendali Real Madrid ini di La Liga cukup menyenangkan untuk memastikan United tidak terus tercicir dari kelompok 4 terbaik liga.

Media Itali turut mendakwa bekas pemain antarabangsa Perancis ini lebih berminat ke saingan Inggeris berbanding menjadi Pengarah Bolasepak Juventus - disebalik penafian teman rapatnya, Christophe Dugarry.

Pihak kelab pula dikatakan tertarik dengan jurulatih Tottenham Hotspur sejak 2014, Mauricio Pochettino dan ia dikongsikan Woodward yang amat mengagumi keupayaan Pochettino meletakkan Spurs diantara pencabar utama. Hubungan baik Pochettino dengan anak buahnya juga satu bonus ketika Mourinho didedahkan mempunyai masalah dengan Paul Pogba dan Alexis Sanchez baru-baru ini.

Persoalannya berapa tempoh masa yang boleh diberikan kepada Mourinho dengan kini 9 mata ketinggalan dari pendahulu, Manchester City dan Liverpool dan sampai bila talian hayat Mourinho di Old Trafford mampu bertahan dengan peluang pertama musim ini sudah digunakan ketika tersingkir di tangan pasukan tidak ternama, Derby County di Piala Liga minggu lalu.