Skip to main content

Rencana

Siapa juara, peluang sama rata

17517.jpg
4 Jun 2017 bertempat di Stadium Millenium Cardiff , dua gergasi Eropah, Real Madrid dan Juventus, akan berentap bagi merebut trofi kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim ini.

Bagi juara bertahan, Real Madrid,  mereka tentunya mahu mengekalkan piala kemenangan di Santiago Bernabeu, apatah lagi dengan skuad Los Blancos kini berada di kemuncak prestasi.

Situasi ini tentunya menggembirakan pengendali mereka, Zinedine Zidane, yang berjaya melangkah dua kali berturut-turut ke pentas final dalam tempoh dua musim selaku jurulatih.

Di bawah bimbingan bekas ketua pasukan Perancis itu, prestasi Real Madrid dilihat cukup konsisten. 

Cristiano Ronaldo masih berada di puncak prestasi dan dia dibantu dengan sokongan pemain berkualiti seperti Karim Benzema, Isco dan juga Alvaro Morata.

Cuma ironinya, mereka perlu berdepan antara pertahanan paling ampuh di dunia, gabungan Gianluigi Buffon, Giorgio Chellini, Leonardo Bonucci dan Andrea Barzagli -- gabungan yang dianggap cukup sempurna untuk mematikan pergerakan Cristiano Ronaldo dan rakan-rakan.

Bagi Real Madrid, jentera tengah mereka dikawal Toni Kroos dan Luka Modric biarpun beberapa bintang seperti Gareth Bale dan James Rodriguez tidak berada pada prestasi terbaik. Namun, kekosongan itu berjaya diisi tenaga muda seperti Casemiro dan Marco Asensio.

Berbeza di Juventus, Massimiliano Allegri mempunyai pilihan antara Sami Khedira, Miralem Pjanic, Claudio Marchisio, Dani Alves, Alex Sandro dan Juan Cuadrado dan persefahaman sesama mereka dapat dilihat jelas dalam perlawanan separuh akhir bertemu Monaco tempoh hari.

Kecemerlangan Sergio Ramos dan Keylor Navas baru-baru ini di benteng terakhir juga sedikit melegakan Zidane kerana umum pasti sudah mengetahui betapa gandingan Gonzalo Higuain dan Paulo Dybala cukup tajam di depan gawang.

Secara peribadi, saya berasakan peluang 50-50 buat kedua-dua pasukan untuk muncul juara. 

Pasti ramai yang mahukan Real memenangi  gelaran buat kali kedua berturut-turut tapi ada juga yang mahu melihat legenda dan ikon bola sepak, Buffon, mengucup trofi UCL sebelum bersara!

Advertisement

Must Watch Video