RENCANA
'Siapa calon terbaik kemudi Harimau Malaya'
Bekas pengendali Johor Darul Takzim (JDT), Bojan Hodak, bekas jurulatih Sarawak, Robert Alberts dan bekas jurulatih Kelantan, George Boateng antara jurulatih import yang sudah menyuarakan hasrat untuk melatih Harimau Malaya.
Datuk Ong Kim Swee yang kini memangku tugas pengendali negara kekal calon tempatan terbaik.
Bagi penulis, semua calon itu mempunyai kekuatan dan kelebihan masing-masing.
Iklan
Hodak tampak memiliki rekod pencapaian terbaik dalam saingan domestik daripada semua calon tersebut berlandaskan rekod dengan JDT dan Kelantan sebelum ini.
Kim Swee pula mempunyai pengalaman sedekad dengan pogram pembangunan FAM selain sudah dua kali memangku tugas pengendali negara.
Namun, bagi penulis calon paling sesuai ialah individu yang perlu berupaya memberi impak segera dan sekurang-kurangnya mengembalikan pasukan negara sebagai pasukan terbaik di rantau ini.
Ia penting kerana ketika ini negara seperti Filipina, Thailand dan juga Singapura sudah menjelmakan peningkatan untuk bersaing dengan kuasa besar Asia di saingan kelayakan Piala Dunia-Piala Asia kini.
Calon terbaik pada pengamatan peribadi penulis,ialah bekas jurulatih Singapura yang kini membimbing Myanmar, Raddy Avramovic.
Pengendali kelahiran Serbia ini mempunyai rekod cemerlang di rantau Asean dengan membantu Singapura meraih tiga kejuaraan AFF (2004,2007 dan 2012).
Pandangan penulis turut mendapat sokongan pengendali Felda United, Irfan Bakti Abu Salim.
"Raddy (Avramovic) jurulatih pengalaman yang sudah berjaya di peringkat rantau ini. Dia cukup sinonim dan pada masa ini kita memerlukan jurulatih import yang mampu meningkatkan semula tahap skuad negara. Buat permulaan, tumpu saingan di rantau ini," kata Irfan.
Mungkin akan terdapat segelintir pengkritik berasakan ketika Singapura muncul juara AFF pada 2004 dan 2007, mereka menggunakan pemain naturalisasi.
Namun perlu diingat pemain muda Singapura seperti Safwan Baharuddin , Harris Harun dan Izwan Mahbud mendapat pendedahan antarabangsa awal di bawah Avramovic.
Ia memberi gambaran Avramovic berupaya membimbing pemain muda di peringkat antarabangsa - Sesuatu yang amat diperlukan barisan negara kini.
Must-Watch Video