Skip to main content

Rencana

Si ‘kepala angin’ taruhan Juventus

rabiot-cover.jpg
Adrien Rabiot dilabel salah seorang enigma terhebat bukan tanpa alasan. Paris Saint-Germain (PSG) sudah terlalu ‘masak’ dengan gelagatnya dan Juventus akan turut mengenali kerenahnya dalam sesingkat masa.

Dalam pada itu, juara Serie A itu mungkin menjadi pelantar untuk mengerah yang terbaik daripadanya kerana berbanding pengurus-pengurus terdahulu di kelab ibu kota Perancis itu, Maurizio Sarri diketahui tidak mempuyai banyak kesabaran dengan pemain bermasalah.

Laman sesawang www.bleacherreport.com menyimpulkan bahawa ia bukan lagi rahsia, buat seorang pemain yang baru memasuki usia 24 tahun, April lalu, Rabiot telah mencetuskan sedemikian banyak kontroversi untuk mewarnai seluruh kariernya.



Ambil contoh bagaimana dia menolak kontrak baru di PSG pada musim panas 2014 setelah bersetuju menyertai Roma, hanya untuk mengubah fikiran tidak lama kemudian dan menandatangani perjanjian baru untuk kekal di Paris.

Dia turut pernah terlepas final Coupe de France pada 2015 gara-gara lewat tiba untuk satu mesyuarat penting pasukan.

Atau ugutannya terhadap pengurus, Laurent Blanc, kononnya dia telah memberitahu Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi, untuk meminjamkannya kepada kelab lain jika waktu bermainnya semakin terbatas.

Tidak ketinggalan juga, dia membuat keputusan menolak untuk dimasukkan dalam senarai pemain pengganti bagi skuad Piala Dunia Perancis tahun lalu – alasan kukuh kenapa dia baru tampil bersama skuad kebangsaan hanya enam kali sebelum itu.

Rabiot – satu produk akademi PSG yang pernah bersama Manchester City ketika remaja -- enggan bersetuju dengan rundingan kontrak baru dengan PSG awal musim ini hingga dia dihukum tidak lagi akan diturunkan, dengan penampilan terakhirnya bersama kelab kendalian Thomas Tuchel itu adalah pada 11 Disember tahun lalu.



Pada usia semuda 23 tahun ketika itu, Rabiot telah membuat 250 penampilan senior bersama kelab dan meraih 13 trofi keseluruhannya sejak 2012 tetapi kecicirannya daripada skuad kebangsaan bukan juga sesuatu yang menghairankan kerana sikap kepala anginnya.

Pada malam PSG disingkirkan Manchester United dengan kekalahan 1-3 dalam perlawanan kedua pusingan 16, Liga Juara-Juara (UCL) pada 7 Mac lalu, Rabiot menimbulkan kemarahan pasukannya apabila dirakamkan berparti sakan di sebuah kelab malam Paris, seolah-olah meraikan satu “kemenangan” di pihaknya.

Anehnya, di sebalik semua gelagatnya itu, dia dikaitkan dengan perpindahan ke kelab-kelab utama Eropah, antaranya Real Madrid, Barcelona, Manchester United, Tottenham, Chelsea, AC Milan, Arsenal, Borussia Dortmund dan Liverpool sehinggalah Juventus menjadi pilihannya.

Dan sejurus diperkenalkan secara rasmi sebagai pemain baru Juventus awal bulan ini, Rabiot tidak dapat mengelak daripada menyindir kelab lamanya: “Juve sebuah kelab hebat dengan sejarah panjang tradisi cemerlang di Eropah. Ia satu peningkatan dan lonjakan besar daripada PSG yang saya tinggalkan.”

Mampukah dia berjaya di kelab baru yang sudahpun sarat dengan bintang-bintang ternama, dengan Cristiano Ronaldo adalah tumpuan utama?



Pengurus Juve, Sarri, nampaknya mahu memberikan kepercayaan, dengan Rabiot sudah diturunkan dua kali – pemain gantian ketika menentang Tottenham di Singapura di samping membarisi kesebelasan permulaan digandingkan dengan Miralem Pjanic dan Blaise Matuidi berdepan Inter Milan di China kelmarin.

“Sarri perlu bijak menangani kepala angin Rabiot, yang jika kena dengan caranya, boleh memenangkan pasukan,” kata Blanc, yang memenangi tiga kejuaraan Ligue 1 bersama-sama, kepada Gazzetto dello Sport. 

“Perwatakannya bukan satu kekurangan, dia sebenarnya memiliki ciri-ciri seorang pemain hebat.”

Pesanan lanjutnya berbunyi: “Rabiot harus dibiar menyerlahkan semangat meluap-luapnya di atas padang, di mana keputusan perlawanan diputuskan, sambil dia memanfaatkan bakat besarnya. Dia hanya boleh meningkat di Juventus.

“Rabiot bukan pemain No. 10 seperti Platini atau Zidane. Dia bermain sedikit ke bawah tapi mampu menyerlahkan kualiti di pertahanan dan serangan.”

Harus benar kerana Juve juga tidak akan sewenang-wenangnya menawarkan kontrak lima tahun yang bernilai £6.25 juta (RM32j) semusim untuk Rabiot sekadar menjadi penumpang.
 

Advertisement

Must Watch Video