Skip to main content

Rencana

Shaukei cikgu saya

28517sharon.jpg
Tujuh tahun berlalu namun kami masih serasi sebagai pengulas bersama.

Sejak kecil sampailah menjadi atlet negara dan sehingga kini, saya memang minat dengan cara penyampaian Shaukei Kahar.

Suara, intonasi dan pengetahuannya dalam sukan membolehkan pengulas berpengalaman ini membawa kita ke tahap suspen dan ingin tahu apa yang akan disampaikan seterusnya.

Nasihat ibu ayah memang betul, jika kita buat yang terbaik, kehidupan akan membawa kita ke perjalanan yang indah dan bermakna.

Siapa sangka, kini, idola saya Shaukei merupakan rakan setugas dalam Astro Arena dan lebih bangga lagi, kami bergandingan untuk tugas pengulasan terutamanya dalam sukan badminton dan skuasy.

Saya masih ingat kali pertama diberi peluang berganding bersama Shaukei dalam Kejohanan Skuasy Terbuka Kuala Lumpur 2010 sebelum bersara daripada sukan skuasy setelah 20 tahun mengibarkan Jalur Gemilang sebagai pemain elit negara.

Perasaan gemuruh dan ketidakpastian pada tugasan pertama yang bersiaran langsung dalam saluran 801 berkurangan kerana kata-kata positif dan nasihat Shaukei. Lembut suaranya. Hati pun tenang.

Beberapa bulan selepas itu, kami digandingkan semula dalam Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia 2010.

Shaukei terus memberi tunjuk ajar serta selok belok mengenai pengulasan sukan dan bagaimana untuk memastikan kombinasi kami dikuti oleh para penonton dengan yakin dan pada masa yang sama terhibur.

Tidak lupa juga tuan direktor Zaffarul yang memberi komen tajam namun semuanya untuk kebaikan saya menjadi pengulas wanita yang dihormati.

Setiap nasihat dan panduan daripada Shaukei masih saya simpan di dalam diari untuk dijadikan rujukan.

Apa pun masa berlalu dengan pantas dan setelah agak lama tidak digandingkan, akhirnya pada 26 Mei 2017, Shaukei dan saya bersatu semula untuk mengulas perlawanan akhir Kejohanan Skuasy Kebangsaan.

Déjà vu.

Shaukei tetap Shaukei. 

Seperti biasa memberi nasihat dan memastikan saya buat yang terbaik dalam tugasan, dan katanya tiada siapa yang boleh menghalang kejayaan jika kita berpegang teguh dengan prinsip positif dan yakin dengan keistimewaan diri sendiri. 

Cikgu Shaukei, terima kasih!

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video