Skip to main content

Rencana

Setiap pasukan ada kekuatan masing-masing

harimau-malaya.jpg
Selepas selesai undian kelayakan pusingan kedua Piala Dunia-Piala Asia pada 17 Julai lalu, penulis ingin mengajak pembaca meninjau kekuatan setiap pasukan dalam Kumpulan G yang bakal berdepan skuad negara kelak.

Emiriah Arab Bersatu (UAE):

Sudah pasti pertemuan dengan UAE akan mengimbau kenangan pahit buat barisan negara, ia gara-gara kekalahan 10-0 di Abu Dhabi dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018 pada 2015.

Kekalahan besar itu turut menyebabkan Dollah Salleh mengumumkan Perletakkan jawatannya sebagai pengendali negara.

Namun, kedua-dua skuad kebangsaan UAE dan Malaysia mengalami perubahan selepas pertemuan di Abu Dhabi itu.

UAE kini dikendalikan bekas jurulatih Belanda, Bert Van Marwijk yang turut pernah mengendalikan Australia pada 2018.

Meskipun atas kertas UAE dikatakan ampuh, Van Marwijk dilihat membentuk skuad baru sejak mengambil alih daripada Mehdi Ali (jurulatih UAE ketika menewaskan Malaysia 10-0).

UAE masih diperkuatkan penyerang berpengalaman dan kapten pasukan, Ali Mabkhout dan tonggak tengah Khamis Esmaeel.

Bintang utama ketika menewaskan Malaysia 10-0, Omar Abdul Rahaman pula ketika ini jarang dipanggil Van Marwijk untuk perkuat barisan.

Penulis berani bertaruh, skuad negara kendalian Tan Cheng Hoe kali ini berupaya memberi tentangan lebih getir buat UAE berlandaskan aksi dan tahap semasa skuad kebangsaan kini.

Vietnam:

Tidak dinafikan Vietnam ketika ini adalah pasukan terbaik dalam kalangan negara-negara Asean dan ranking dunia mereka menghuni tangga 113 . Dan ini turut menguatkan hujah tersebut.

Skuad kendalian Park Hang Seo kini kerap menggunakan formasi 4-3-3, sama seperti skuad negara.

Namun jika dilihat keputusan perlawanan Malaysia-Vietnam dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, skuad Naga Emas tidak mudah mengatasi Harimau Malaya.

Bintang utama Vietnam ketika ini ialah Nguyen Cong Phuong yang beraksi dengan kelab Belgium, Sint-Truidense serta pernah beraksi dalam Liga Jepun dan Liga Korea sebelum ini.

Untuk menewaskan Vietnam, ia bukan saja menuntut pemain di tahap terbaik tetapi juga percaturan taktikal berkesan untuk menangani kemahiran individu tinggi pemain mereka.

Bagi penulis tidak mustahil kita mampu meraih keputusan positif di laman sendiri berdepan Vietnam dan sekurang-kurangnya seri di laman mereka.

Thailand:

Aksi Thailand-Malaysia dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini juga sengit dan skuad Gajah Perang juga tidak mudah menewaskan barisan negara.

Namun, skaud kebangsaan Thailand kini turut melalui fasa perubahan di bawah kendalian jurulatih Jepun yang cukup berpengalaman, Akira Nishino.

Perlu diingat, ketika skuad negara menewaskan Thailand untuk ke final Piala AFF Suzuki, mereka tidak diperkuatkan dengan bintang Liga J mereka iaitu Teerasil Dangda, Theerathon Bunmathan dan Chanatip Songkrasin serta penjaga gol berpengalaman, Kawin Tamsatchanan.

Bagi penulis, Thailand kini adalah lawan yang lebih merbahaya berbanding Vietnam.

Selain trio Liga J mereka, Thailand turut diperkuatkan penyerang muda kelahiran Pattani, Supachai Jaided yang kini bersama Buriram United.

Jadi, barisan Harimau Malaya jelas perlu berada di tahap terbaik untuk mendapatkan keputusan positif berdepan Thailand.

Kegagalan dalam Piala Suzuki juga pasti membuatkan mereka mahu menebus kehampaan itu dengan aksi cemerlang dalam saingan kelayakan Piala Dunia-Piala Asia kali ini.

Indonesia:

Aksi pertama negara dalam saingan kelayakan kali ini adalah berdepan Indonesia di laman lawan pada 7 September depan.

Sudah pasti, kenangan skuad senior dan bawah 23 tahun menaiki kereta perisai Baracudda datang kembali setiap kali Malaysia bertandang ke Indonesia.

Namun pada pengamatan penulis, skuad Garuda kali ini tidak seampuh barisan 2010 dan 2016 ketika mereka muncul naib juara Piala AFF Suzuki.

Kali terakhir kita berdepan Indonesia ialah pada Piala AFF Suzuki 2016 yang menyaksikan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee tumpas 3-0.

Sejak itu, kedua-dua pasukan mengalami perubahan dengan peningkatan positif lebih memihak skuad negara kendalian Cheng Hoe ketika ini.

Pada penulis, kita tidak seharusnya tumbang kepada Indonesia dalam saingan kelayakan kali ini.

Daripada segi ranking, Malaysia kini di ranking 159 manakala Indonesia, sekadar di ranking 160 dan tidak banyak perbezaan.

Namun, apa yang penting adalah pemain negara perlu mempunyai kekuatan mental apabila bertandang ke Indonesia.

Pemain negara harus sedar tiada apa yang istimewa mengenai skaud Garuda kali ini dan percayalah, barisan pemain mereka juga sebenarnya gusar apabila berdepan Malaysia.

Penulis sebenarnya juga terkejut dengan kemerosotan Indonesia kini yang dikendalikan jurulatih kelahiran Scotland, Simon Mcmanemy.

Apa pun, Malaysia perlu kekal waspada dengan beberapa pemain negara itu yang pernah mewarnai kancah Liga Malaysia seperti Andik Vermansah, Evan Dimas dan juga penyerang naturalisasi mereka, Ilijia Spasojevic.

Penyerang kelahiran Belanda, Irfan Bachdim pula kini tampak lebih matang bersama Bali United di Liga Satu Indonesia selepas turut meraih pengalaman beraksi di Thailand dan Jepun sebelum ini.

Rumusan:

Penulis percaya barisan negara mampu bersaing dengan kesemua pasukan dalam kumpulan G.

Sasaran realistik adalah menduduki tiga tempat teratas kumpulan dengan Piala Asia harus menjadi sasaran utama.

Jika berjaya ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia, ia adalah bonus dan sudah pasti ranking dunia negara akan turut melonjak naik.

Advertisement

Must Watch Video