Skip to main content

Rencana

Sengketa Mourinho-Conte cetuskan drama (bhg 2)

conte-mourinho.jpg
Bagaimana ia bermula?

Perseteruan Mourinho dan Conte dirasakan bermula pada  3 Julai 2016. Itulah tarikhnya Conte mengambil alih selaku pengurus The Blues, enam bulan selepas Mourinho dipecat Chelsea yang ketika itu yang hanya berada sedikit di atas zon relegasi.
 
Ia tidak mengambil masa lama untuk kedua-duanya bersemuka ketika Chelsea menerima kunjungan United ke Stamford Bridge pada  Oktober -- dan ia satu perlawanan yang diharapkan pengurus Portugis itu mampu dilupakannya.
 
Kenapa? Chelsea membelasah lawannya 4-0 dan Conte meraikan setiap gol dengan terloncat-loncat bagai orang dirasuk di garis tepi padang.
 
“Anda tidak harus meraikannya seperti itu pada kedudukan 4-0,” Mourinho meluahkan kemarahannya kepada TV Itali. “Anda boleh melakukannya pada kedudukan 1-0, selebihnya adalah mengaibkan buat kami.”
 
Dari situ, Conte menambah garam kepada luka Mourinho dengan membayangkan pengurus Portugis itu telah mengabaikan salah seorang bekas pemainnya ketika bersama Chelsea.
 
Pada November, Conte memberitahu Gazetta dello Sport bahawa dia serta-merta mengenal pasti potensi Victor Moses dan tidak faham mengapa Mourinho menafikan peluang pemain itu dalam kesebelasan utama pasukan.
 
“Saya dapati ia amat menghairankan buat seorang pemain berbakat sepertinya boleh menjadi mangsa terlepas pandang,” katanya.
 
Perseteruan bertukar menjadi kata-kata kesat

Conte dikritik oleh Mourinho gara-gara sambutan gol atau kemenangannya yang dianggap berlebih-lebihan.
 
Musim panas lalu, Conte memberitahu pemain-pemainnya yang dia tidak akan membenarkan mereka menyudahkan saingan di tangga ke-10 di bawah pengendaliannya.
 
“Kita semua mahu mengelakkan musim (di bawah pengawasan) Mourinho,” Conte dipetik sebagai berkata oleh BBC – satu lagi penghinaan buat pengurus United itu.
 
Mourinho menepis sindiran itu dalam satu sidang media bersaingan: “Saya tidak mahu kehilangan rambut   bercakap mengenai Antonio Conte," katanya – satu sindiran terhadap pengurus Itali itu yang diketahui pernah menjalani rawatan penanaman rambut.
 
Dengan peredaran waktu, perang mulut di antara mereka hanya menjadi bertambah panas. Sebagai contoh, Mourinho mengandaikan Conte seperti seorang badut dan seorang gila di garis tepi padang.
 
“Saya tidak berkelakuan seperti seorang badut,” katanya seperti dipetik oleh Goal.com. “Saya memilih untuk bersikap lebih matang. Saya tidak fikir anda perlu berkelakuan seperti seorang gila di garis tepi padang.”
 
Conte, yang jelas mengingati tempoh ketika Mourinho juga berlari ke hulu ke hilir di garis tepi padang, bertindak balas dengan menuduh pesaingnya itu seorang yang mengalami gangguan mental.
 
“Barangkali dia bercakap mengenai dirinya sendiri pada masa lalu,” katanya seperti dilaporkan The Times. “Kadangkala saya fikir seseorang itu dah nyanyuk dan hilang akal apabila anda lupa apa yang anda lakukan pada masa lalu.”
 
Conte kemudian menarik balik kenyataannya itu dengan penjelasan apa yang dimaksudkannya adalah amnesia (hilang ingatan) dan bukan demensia (gangguan mental) tapi kemusnahannya telah pun berlaku.
 
(BERSAMBUNG)
 

Advertisement

Must Watch Video