Skip to main content

Rencana

Semangat Safiyah membara

safiyah.jpg
Kejayaan menjulang kejuaraan Kejohanan Bowling Kebangsaan semestinya memberi satu kepuasan buat mana-mana atlet di Malaysia.

Tidak terkecuali, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman juga kini menikmati perasaan sama selepas menundukkan Natasha Roslan di Sunway Mega Lanes pada Ahad dan dia tentu puas memandangkan kemenangan itu menamatkan penantiannya selama 10 tahun untuk bergelar juara.

Kemenangan dalam saingan step-ladder itu juga pastinya menjadi pembakar semangat untuknya mempertahankan kejuaraan Kejohanan Wanita Dunia di Las Vegas yang akan bermula 22 Ogos ini selepas mengungguli saingan itu tahun lalu.

"Kami mahu mempertahankan pingat emas yang diraih tahun lalu dan saya akan cuba meraih kejayaan dalam acara individu, berpasangan serta trio," katanya.

Kini menjulang dua kejuaraan kebangsaan dalam karier sejak kali terakhir melakukannya pada 2009, dia juga mengharungi saingan yang agak memberangsangkan tahun ini.

April lalu, atlet berumur 29 tahun itu muncul juara di Terbuka Antarabangsa Thailand ke-45 di Bangkok dan berdasarkan pencapaian yang diraih setakat ini, Safiyah menjadi nama yang digeruni menjelang Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina hujung tahun ini.

Anak jati Subang Jaya ini sememangnya mempamerkan taring sebenar pada tahun ini dan dia bakal dijadikan sandaran utama negara di Manila nanti untuk mencapai sasaran empat pingat emas yang ditetapkan.

Jurulatih negara, Holloway Cheah, sudah tentu dalam dilema untuk memilih siapa nama empat atlet daripada lelaki dan wanita bagi membawa cabaran Malaysia November nanti, apatah lagi Sukan SEA kali ini tidak membenarkan slot untuk pemain gantian.
 

Advertisement

Must Watch Video