Skip to main content

Rencana

Selangor saya, dalam dunia yang ideal

1_13.jpg
Dalam dunia saya yang ideal, Selangor bukan sahaja mendominasi saingan domestik malah pencabar hebat di pentas Asia.

Pemain-pemain muda berbakat, barisan bintang tidak melihat penghijrahan dalam Liga Malaysia sebagai peningkatan dalam kerjaya.

Susulan menyarung jersi Merah Kuning mereka sedar, untuk memburu impian lebih besar selepas Selangor adalah untuk mengembangkan sayap ke luar.

Bermain untuk Selangor buat mereka berani untuk melangkah ke dunia kuasa besar Asia, ke Amerika Utara dan Selatan dan seterusnya Eropah.

Belum sentuh mengenai fasiliti dan infrastruktur, di mana Selangor bukan sahaja memiliki stadium sendiri, juga akademi bagi setiap lapisan umur.

Penaja-penaja serta syarikat korporat berlumba-lumba untuk menjadikan Selangor sebahagian daripada portfolio mereka.

Lebih penting modal pengurusan Selangor bersandarkan kepada eko sistem yang memiliki kewangan stabil serta menjadikan penyokong sebagai sebahagian pemegang taruh.

Tetapi itu semua dalam angan-angan saya.

Realitinya Selangor kini hanya boleh menjadikan sejarah sebagai ruang untuk memaut kepada sebarang kegemilangan.

Nak mencari venue bagi gelanggang laman sendiri di pentas Liga Super juga perlu mengemis.

Usah sentuh soal pemain muda dan tonggak senior dipancing seteru lain sehingga Gergasi Merah digelar sebuah "feeder club".

Saya tidak pernah menyembunyikan kesetiaan saya kepada Selangor sebagai anak jati Klang, juga tidak bermaksud saya akan terima dan setuju dengan nasib yang menimpa instituisi ini.

Apa boleh buat, selagi sebuah pasukan bola sepak negeri ini tidak dianggap milik rakyatnya dan menjadi agenda kepada segelintir pihak.

Betul, saya dan ramai lagi akan senantiasa berpegang pada mantra Selangor Sampai Mati dalam berdiri di belakang mereka yang berjuang untuk pasukan ini.

Dalam dunia realiti ketika ini, usah terkejut kalau satu hari Selangor terjerumus ke dasar Liga Malaysia.

Advertisement

Must Watch Video