RENCANA
Selamat jalan Datuk Ong Kim Swee?
18 Januari lalu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengesahkan jawatan Datuk Ong Kim Swee selaku pengendali utama skuad Harimau Malaysia dengan tiga Petunjuk Prestasi Utama (KPI) seperti berikut:
1) Mencapai kejayaan dalam Piala Suzuki AFF 2016.
2) Melepasi 'play-off' kelayakan Piala Asia 2019.
3) Memperbaiki ranking ke tangga 140 dunia.
KPI yang pertama iaitu mencapai kejayaan dalam Piala Suzuki AFF 2016 ternyata gagal dipenuhi. Ini kerana edisi terdahulu di bawah bimbingan Dollah Salleh, Malaysia berjaya mara ke pentas final, jadi secara tidak langsung, “kejayaan” yang dimaksudkan untuk Kim Swee adalah muncul juara untuk edisi kali ini.
Iklan
Namun, malangnya kita bukan sekadar gagal melepasi peringkat kumpulan, malah kita juga tewas dua dari tiga perlawanan.
Tumbang 0-1 masing-masing di tangan Vietnam dan Myanmar, dan kemenangan 3-2 ke atas Kemboja pula hadir selepas kesemua pemain berhempas pulas di atas padang.
KPI kedua adalah melepasi 'play-off' kelayakan Piala Asia 2019 di mana Harimau Malaysia layak selepas menyingkirkan Timor Leste pada Jun lalu, namun perjalanan yang harus ditempuh juga bukan semudah yang di sangka.
Dengan keadaan semasa di mana moral pasukan tidak berada di tahap terbaik, dan diambil kira situasi di mana kita berada di zaman pemain lebih minat 'bersara awal' ataupun 'tiba-tiba cedera' selepas menjalani latihan bersama suad kebangsaan, ataupun pemain 'tidak mendapat izin' untuk berbakti buat negara, bukan mudah buat Kim Swee membentuk pasukan yang mantap.
Panggilah Sir Alex Ferguson sekalipun, belum tentu beliau mampu mengubah keadaan ini.
KPI ketiga pula ialah memperbaiki ranking ke tangga 140 dunia. Dengan Malaysia kini berada di tangga ke 156, skuad negara perlu menghasilkan keputusan positif dalam setiap perlawanan antarabangsa kelas A, selain bertemu pasukan yang berada di ranking yang lebih baik.
Namun, bagaimana nak menang kalau dengan Myanmar pun kita tewas? Tidak salah jika saya katakan bahawa sebenarnya kita sedang melalui 'zaman gelap' bagi bola sepak negara.
Lihatlah kualiti permainan kita di Piala Suzuki AFF, jika ianya dijadikan sandaran, jangan mimpilah nak melepasi saingan 'play-off' Piala Asia, apatah lagi mahu menduduki ranking 140 dunia.
Secara tidak langsung, dengan segala halangan yang ditanggung oleh Kim Swee, mungkin beliau sejujurnya hanya menunggu masa untuk 'direhatkan' sebelum dibayar pampasan jika ditamatkan kontrak lebih awal.
Bersandarkan barisan pemain sedia ada dan berdasarkan aksi di atas padang, kemungkinan besar, Kim Swee tidak mampu mencapai satu pun daripada tiga KPI yang ditetapkan.
Malah, ia turut menjadi bukti kegagalan berterusan badan induk FAM dalam memartabatkan bola sepak negara. Jadi, mungkin sudah tiba masa untuk mengucapkan selamat tinggal Kim Swee?
Must-Watch Video