Skip to main content

Rencana

Selamat bersara 'Lan Kristal'

tontowi.jpg
Apabila Tontowi Ahmad mengumumkan persaraan 19 Mei lalu, kotak fikiran saya terus tergambar vokalis kumpulan Kristal, Mohd Razlan Mohamed Yusof, yang turut dikenali sebagai Lan Kristal. 

Wajah mereka amat mirip, khususnya ketika final Sukan Olimpik Rio 2016, Tontowi yang ketika itu bergandingan dengan Liliyana Natsir menundukkan Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying.

Statistik juga menunjukkan sepanjang dia beraksi 10 tahun ini, Tontowi telah memenangi 408 perlawanan, dan tewas 143 perlawanan sahaja dalam acara beregu campuran.

Tontowi yang turut mesra disapa “Owi” seakan bergelut setelah pasangan utamanya, Liliyana mengumumkan persaraan pada 2019, apabila digandingkan dengan pemain muda seperti Winny Oktavina Kandow untuk cuba melayakkan diri ke temasya Olimpik Tokyo, kemudian seperti kurang menjadi, Tontowi digandingkan pula dengan Apriyani Rahayu.

Di usia 32, Tontowi umumkan persaraan namun pemain berasal dari Jawa Tengah ini boleh berbangga apabila sudah memenangi pelbagai kejohanan, dan sudah mengecap pelbagai gelaran utama, Juara Olimpik, Juara Dunia begitu juga Juara Asia untuk menutup buku. Selain itu, dia dan Liliyana turut pernah menduduki ranking pertama dunia pada 2018.

Menerusi hantaran dalam ruangan Instagramnya, Tontowi mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu sepanjang kariernya mencipta legasi sebagai beregu campuran terbaik pernah dihasilkan Indonesia. Siapa tahu, mungkin Tontowi selepas ini mahu cuba menjadi penyanyi dan hasilkan album seperti Lan Kristal? He he he..

Advertisement

Must Watch Video