Skip to main content

Rencana

SEJARAH TERUKIR! Faiz Subri vs Lionel Messi

221116puskas.jpg
Saya pernah dikecam peminat bola sepak hanya kerana menulis artikel bertajuk: FAIZ SUBRI GILA!. Namun selepas membaca kandungannya, barulah mereka faham tentang maksud saya. Gila kita memikirkan bagaimana bola sepakan pemain Pulau Pinang ini boleh melencong secara melawan hukum fizik dan menerjah jaring. 

Telefon pintar, tablet dan komputer riba malah komputer peribadi turut sama gila apabila kita berulang kali menonton klip video yang dikongsi, untuk mendapat kepastian silap mata apakah yang sedang dilakukan Faiz.

Terpacul di mulut kita semua betapa gol ini akan tercalon untuk anugerah jaringan tercantik Puskas Award apabila cerita Gol Berhantu Faiz ini bertebaran di seluruh dunia. Kebanyakan media cetak dan elektronik juga menerusi platform media sosial, menulis dan memuji gol Faiz ketika itu.

Saya pasti anda secara automatik akan terbayang gol tersebut di saat membaca artikel ini. Ia seakan sudah sebati dan mudah diingati, kerana ia gol paling kreatif, cantik, memukau, pelik dan gila yang pernah dijaringkan oleh pemain negara.

Kini ia sudah menjadi nyata. Nama Faiz Subri kini telah disenarai pendek oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa FIFA bagi Anugerah Puskas 2016. 

Daripada senarai 10 pemain yang diumumkan FIFA pada 21 November 2016, dua daripadanya merupakan bintang bolasepak paling berpengaruh dunia iaitu Lionel Messi dan Neymar.

Kalau mahu dibandingkan antara Faiz dan Messi serta Neymar, dari segi apa sekalipun, ia ibarat langit dan bumi. Tetapi dengan pencalonan ini Faiz sudah sebaris dengan 'megastar' bolasepak ini. 

Untuk rekod Faiz Subri merupakan pemain tunggal dari Asia Tenggara yang pernah disenarai pendek untuk Anugerah Puskas sejak edisi pertama pada 2009. Dan pemain lelaki kedua dicalonkan dari Asia selepas Hisato Sato dari Jepun pada 2014.

Pemenang 2015, Wendell Lira dari Brazil yang tidak dikenali berjaya menewaskan Lionel Messi dengan peratusan yang ketara. Ia mampu jadi pemangkin kepada kejayaan buat Faiz menerusi gol pelik yang dilakukannya.

Andai Faiz terpilih di kalangan tiga calon terakhir atau lebih hebat memenangi Anugerah Puskas, dia bakal diangkat sebagai pemain terbilang dalam sejarah bolasepak Asia.

Dan sejarah ini bakal dikenang buat selamanya malah namanya akan terus tersimpan rapi dalam arkib FIFA sebagai salah seorang pemenang Anugerah Puskas!

Apapun Faiz Subri sudah mengukir sejarah bola sepak negara sebaik senarai 10 gol tercantik diumumkan FIFA.

Ayuh semua rakyat Malaysia! Kita mampu menjadikan Faiz Subri juara. Anda boleh mengundi untuk memilih Faiz di http://www.fifa.com/the-best-fifa-football-awards/puskas-award/.

Faiz Subri - gol tiada tandingan!

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found