Presiden Hoki India, Narinder Bhatra, berjaya memenangi kerusi presiden Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) di kongres ke-45 badan induk dunia itu di Dubai baru baru ini.
Menewaskan dua pencabar untuk kerusi presiden FIH, Ken Read dari Australia dan David Balbirnie dari Ireland, Narinder mendapat 68 undi manakala Balbirnie dan Read masing-masing 29 dan 13 undi. Daripada 118 undian, hanya 110 perwakilan yang mengundi.
Advertisement
Bhatra menjadi presiden ke-12 FIH yang telah beroperasi selama 92 tahun. Beliau juga telah mencipta sejarah dalam hoki dunia apabila menjadi wakil dari Asia yang pertama menduduki kerusi tertinggi FIH, yang sebelum sebelum ini di monopoli wakil dari Eropah.
Di Kongres ke-45 FIH itu juga, presiden terdahulu dari Sepanyol, Leandro Negre, terpaksa melepaskan tampuk pemerintahan kerana tiba saat maksimum selama dua penggal sebagai presiden.
Apabila mengimbau semula semasa saya masih aktif mewakili pasukan negara, pernah terlintas difikiran bilakah seseorang dari Asia yang akan menjadi Presiden FIH.
Dalam majlis tertinggi FIH, sudah tersedia kerusi secara automatik buat Presiden Hoki Asia. Terdahulu adalah Almarhum Sultan Azlan Shah dan yang terkini, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Pasukan Eropah dan Australia setakat ini telah monopoli sukan ini, selepas sukan hoki ini dipermodenkan sekitar lewat 70-an dan awal 80-an.
Selepas 92 tahun, kini seseorang dari Asia telah berjaya memecahkan monopoli tersebut. Saya amat bangga dan mengharapkan Bhatra bukan sahaja memacu sukan hoki ke peringkat lebih tinggi di dunia, tetapi juga memastikan negara-negara Asia melagkah lebih jauh serta menggalakkan lebih banyak negara Asia bergiat dalam sukan hoki.
Jika boleh, perlantikan itu juga diharapkan memberi kesan positif terhadap hoki Asia, sama seperti yang berlaku terhadap dominasi pasukan Eropah.
Saya tidak dapat menolak bahawa pegawai tertinggi FIH sedikit-sebanyak memberi kelebihan terhadap gergasi dunia sama ada dari segi moral atau perubahan peraturan.
Bagi Malaysia, sekurang-kurangnya Bhatra dapat memikirkan sesuatu untuk meningkatkan kualiti hoki Asia.
Ini kerana pada suatu ketika, hoki dunia dikuasai pasukan benua ini menerusi Pakistan, India, Korea Selatan dan Malaysia.