Skip to main content

Rencana

Sediakan RM594 juta dulu

cover-neves.jpg
Sebelum bermula saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2018/19, mungkin Manchester City kerap dikaitkan dengan beberapa nama pemain daripada kelab besar seperti Jorginho (Napoli) dan Riyad Mahrez (Leicester City).

Namun, jaringan hasil daripada sepakan percuma ketika aksi pembukaan menentang Everton membolehkan tonggak Wolverhampton Wanderers, Ruben Neves, mula mencuri perhatian pengendali The Citizens, Pep Guardiola.

D ibawah kendalian Nuno Espirito Santo, pemain tengah bertahan dari Portugal itu menampilkan aksi konsisten buat Wolves musim ini setelah mencipta gandingan mantap bersama rakan senegara, Joao Moutinho.



Tatkala Guardiola hanya memiliki Fernandinho di posisi sama, Neves kerap mencuri perhatian dalam setiap aksi musim ini walaupun selepas enam perlawanan, dia hanya mencatat satu gol dan satu bantuan jaringan.

Tidak hairanlah apabila corak permainannya yang seimbang ketika bertahan dan menyerang telah meraih banyak pujian, termasuk daripada legenda Tottenham Hotspur, Robbie Keane, sehingga dia turut menarik minat Manchester United dan Paris Saint-Germain (PSG).

Dianggarkan bernilai GBP60 juta (RM324 juta), City sebaliknya menerima tamparan hebat apabila pihak pengurusan Wolves meletakkan tanda harga GBP110 juta (RM594 juta) sekiranya Guardiola bercadang untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 21 tahun itu.

City mungkin memiliki barisan pemain tengah yang sempurna seperti Ilkay Gundogan, Kevin De Bruyne, Bernardo Silva, David Silva dan Riyad Mahrez tetapi faktor ketiadaan Yaya Toure yang berhijrah ke Olympiacos serta terlepas peluang mendapatkan Jorginho daripada Napoli musim panas lalu mungkin membuatkan mereka sanggup berbelanja besar bagi menarik minat Neves ke Etihad.



Namun, tanda harga mungkin bukan satu-satunya penghalang buat City.

Kumpulan pelaburan dari China, Fosun International, selaku pemilik besar kelab West Midlands itu pastinya tidak akan membiarkan bintang masa depan mereka dilepaskan dengan mudah memandangkan mereka berhajat mahu kekal lama di pentas EPL.

Bagaimanapun, City juga tidak akan mudah disekat sekiranya mereka benar-benar mahu bekas tonggak FC Porto itu hadir ke Etihad dan contoh terdekat, lihat kembali bagaimana mereka meyakinkan Mahrez untuk meninggalkan Stadium King Power.



Apa yang pasti, Nuno berdepan tugas besar, bukan sahaja harus memastikan Wolves kekal dalam saingan tertinggi England tetapi perlu meyakinkan barisan pemain-pemainnya, termasuk Neves, bahawa Wolves tidak menyimpan angan-angan kosong untuk bergelar salah satu pesaing utama EPL.

Buat City, jika benar mahukan Neves, sediakan dulu RM594 juta.

Advertisement

Must Watch Video