Skip to main content

Advertisement

Rencana

Saya bukan 'ahli silap mata'

perak-zul.jpg
Nasib atau taktikal menjadi? Itu persoalan yang bermain di fikiran saya apabila Perak sekali lagi melakukan kebangkitan epik.

Kali ini membabitkan aksi separuh akhir Piala FA apabila The Bos Gaurus memadam kelebihan 3-1 Pahang menerusi kemenangan 3-0 dalam aksi timbal balik untuk mara ke final dengan agregat 4-3.

Pada 2018, pasukan itu bangkit di pentas final Piala Malaysia dengan menundukkan Terengganu selepas dua kali ketinggalan untuk bergelar juara kejohanan berprestij itu.

Manakala pada 2017, mereka menundukkan Pahang, lawan yang sama semalam, menerusi kemenangan 4-0 dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia selepas tewas 1-3 dalam pertemuan pertama.

Semua ini hasil sentuhan Mehmet Durakovic yang turut digelar 'Pakar Piala Malaysia'.

Ditanya mengenai perkara itu dalam sidang media perlawanan, Durakovic hanya ketawa sebelum menyifatkan prestasi luar biasa pemainnya sebagai kunci utama kejayaan menundukkan Pahanng semalam.

Jelas Durakovic enggan dilabel sebagai ahli silap mata walaupun sentiasa mencipta magis di pentas Liga Malaysia.

Apa pun, 'King of comeback' adalah gelaran paling sesuai buat Perak sehingga dilabel 'Liverpool Malaysia' di mana kelab Liga Perdana Inggeris itu juga pakar dalam melakukan kebangkitan.

Sememangnya, kebangkitan itu cukup luar biasa setelah mereka bukan sahaja ketinggalan 1-3, malah terpaksa beraksi tempang tanpa beberapa tonggak utama.

Tatkala penyerang import, Ronaldo Henrique, menjalani penggantungan perlawanan, dua tonggak pertahanan, Amirul Azhan Aznan dan Nazirul Naim Che Hashim, pula dilanda kecederaan.

Pujian harus diberikan kepada anak buah Durakovic yang tidak kenal erti putus asa untuk memastikan kemaraan ke perlawanan akhir buat kali pertama sejak 2005.

Berdasarkan percaturan taktikal bekas pertahanan Selangor itu juga tidak mustahil, pasukan ini mampu mengakhiri kemarau 15 tahun kejuaraan Piala FA selepas kali terakhir memenanginya pada 2004 dengan menundukkan Terengganu 3-0.

Advertisement

Must Watch Video