Skip to main content

Rencana

Saravanan: Saya hendak balik lawan Malaysia

v-saravanan.jpg
Takdir, jodoh dan rezeki tidak pernah tersalah alamat.

Selain kelincahannya dalam kejayaan Piala Malaysia 2000 bersama Perak ditambah pula ketika menyinar Piala AFF dalam edisi 2004 apabila membawa Malaysia ke pentas separuh akhir, nama V. Saravanan dicanang-canang sebagai pelengkap di barisan serangan.

Begitupun, kecederaan berpanjangan seolah-olah menjadi takdirnya sehingga membawa kepada pertemuan jodoh di sebalik proses pemulihan.




Tidak lama selepas bersara, pemain sayap kanan itu berkelana ke Finland dan kini mengendalikan pasukan remaja, Forssan Jalkapalloklubi (FJK).

Dalam program Bola@Mamak semalam, Saravanan sempat berkongsi ceritanya bersama kelab yang terdiri daripada 3,000 pemain dan fokusnya ketika ini adalah membentuk pemain sebagai ketua jurulatih dalam kalangan pemain berumur 13 hingga 15 tahun.



"Kalau ada rezeki, saya nak balik lawan Malaysia," katanya secara berseloroh.

Tegasnya, kemahuan untuk berjaya di peringkat seterusnya selepas bergelar pemain adalah satu cabarannya.

Namun, ia tidak menoktahkan hasrat untuk berjaya sebagai jurulatih pada satu hari kelak. 

Dan kini pada usia 42 tahun, bekas pemain Pahang tersebut sudah mempunyai satu pelantar yang boleh membantu mencapai hajatnya, tetapi semuanya akan berbalik kepada impian seseorang itu sendiri.

"Saya sudah menetapkan idea jangka masa panjang. 

"Saya tidak mempertikaikan (kelebihan yang ada di Malaysia), Malaysia adalah sebuah negara yang bagus. 

"Cuma di Malaysia ramai yang kenal saya, jadi saya ke Finland untuk uji kemampuan, adakah saya (mampu menjadi) seorang jurulatih yang berwibawa.

"Saya keluar dari zon selesa dengan meletakkan cabaran untuk diri sendiri untuk melihat sejauh mana saya boleh bertahan.

"Saya bercita-cita untuk bermain di kelab luar negara tetapi tidak kesampaian.

"Kebetulan isteri saya pula orang Finland, ia memudahkan."

 






 

Advertisement

Must Watch Video