Skip to main content

Advertisement

Rencana

Sapiyev – legenda yang tidak pernah ‘serik’

khawari-serik.jpg
Hampir tiga dekad jadi pemburu koleksi cerita dan berita yang meninggalkan kesan, sudah agak sukar untuk terpana dengan kelibat watak yang menyimpan himpunan wibawa, karisma dan tarikan yang mengusik sanubari.

Namun, pada lewat pagi semalam di Bary’s Arena, di kota Astana -– medan berlangsungnya Kejohanan Hoki Ais Dunia bagi Kumpulan A, Divisyen Satu -- detik itu menjelma kembali sebaik melihat susuk tubuh milik juara Sukan Olimpik 2012, Serik Sapiyev.

Namanya mungkin asing buat peminat sukan negara, namun di seluruh Kazakhstan, itu gelar seorang legenda yang diangkat memegang watak ‘supremo’ dengan sandaran untuk terus menggemilangkan negara itu di persada sukan antarabangsa.

“Dia peninju hebat dan saya sudah melakukan segala yang terdaya. Saya akur tumbang di tangannya.” Kenyataan itu diluahkan peninju Great Britain, Fred Evansm, angkara kehebatan kombinasi tumbukan Sapiyev dalam final kategori welterweight temasya Sukan Olimpik, tujuh tahun lalu.

Dalam ruang temu bual dengannya, Sapiyev mengakui betapa detik gemilang di Pusat Konvensyen ExCel, London –- pada malam 12 Ogos 2012 -– adalah momen paling meninggalkan kesan dalam koleksi lipatan hidupnya.


Momen gemilang Sapiyev apabila memenangi pingat emas dalam Sukan Olimpik London 2012

Momen gemilang di Olimpik London 2012
“Semua itu jadi kemuncak segala usaha dan kerja keras. Semua itu kerana kesungguhan dan nekad naluri untuk meraih gemilang. 

“Saya tidak akan mampu melakukannya tanpa insan penting dalam jejak selaku atlet tinju –- jurulatih saya, Aleksander Strelnikov. Sudah terlintas mahu menggantung sarung tinju selepas kecewa di Beijing, namun dedikasinya melonjakkan saya kembali dan akhirnya bergelar juara Olimpik,” kata Sapiyev menjulang jurulatihnya.

Sapiyev bersara selepas gemilang di London dan setelah mengetuai skuad tinjunya ke Sukan Olimpik Rio 2016 selaku pengurus, dia kini diamanahkan tugas lebih besar untuk menerajui sukan Kazakhstan ke status lebih tinggi.

Legenda berusia 36 tahun itu kini menjawat jawatan Pengerusi Jawatankuasa Sukan dan Latihan Jasmani untuk Kementerian Belia dan Sukan Kazakhstan -- peranan seperti ketua pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) di Malaysia.


Sapiyev tidak pernah lupakan jasa jurulatihnya, Aleksander Strelnikov

Tidak ramai yang tahu tetapi pada awal kelibatnya di gelanggang tinju, Sapiyev – yang mengaku gilakan permainan catur -- pernah menjadi mangsa ‘bidak mainan’ pegawai yang menafikan haknya bertanding dalam Kejohanan Tinju Dunia pada 2003.

“Saya menang tiga pusingan dalam Kejohanan Kebangsaan tetapi lawan yang kalah kepada saya dalam final akhirnya dipilih ke Kejohanan Dunia. 

"Kemudiannya, saya dapat tahu bahawa semuanya sudah diatur,” imbasnya.

Kini, Sapiyev bertekad memastikan tiada lagi detik sebegitu mampu menjadi penghalang generasi atlet-atlet muda Kazakhstan yang mengimpikan gemilang sama seperti dirinya suatu ketika dahulu.

“Suatu hari nanti, Kazakhstan akan jadi kuasa utama sukan dunia. Bukan sahaja dalam tinju tetapi lebih banyak sukan lain. Kami mungkin masih jauh ketinggalan ketika ini tetapi menerusi semangat jitu dan sokongan padu tanpa diganggu agenda tertentu, kami sudah tentu mampu melakukannya."

Janji itu diluahkan Sapiyev yang turut menyimpan harap mampu mengemudi misi penting Kazakhstan menjadi tuan rumah edisi ke-35 Sukan Olimpik 2040.

 

Advertisement

Must Watch Video