RENCANA
SAM – selepas lima dekad
Sabtu lalu, Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) menyambut presiden baharu Jasni Shafie, mengisi kekosongan ditinggalkan oleh Ahmad Khawari Isa susulan keputusannya tidak mempertahankan kerusi yang disandang sejak 2009.
Jasni, bekas wartawan Utusan Malaysia dan pengulas sukan bersama beberapa stesen televisyen, adalah presiden SAM ke-10 terpilih menjawat kerusi berkenaan, setahun menjelang ulang tahun jubli emas persatuan itu.
SAM diasaskan pada 21 Februari, 1969, selepas 38 penulis sukan bermesyuarat di bangunan lama Straits Times di Jalan Riong dengan dipengerusikan oleh pengarang sukan akhbar itu, Norman Siebel. Kelompok ini berpandangan bahawa langkah berkenaan sejajar kewujudan Kesatuan Wartawan Sukan Asia yang diwujudkan di Bangkok pada 1966.
Iklan
Sempena penganjuran Sukan Olimpik di Mexico 1968, Siebel dan G.S. Kler (kemudian Datuk) menghadiri mesyuarat Persatuan Media Sukan Antarabangsa (AIPS), maka kedua-duanya percaya tiba masa penulis sukan tempatan dinaungi sebuah persatuan.
Matlamat asal SAM ialah menjaga kepentingan ahli dari sudut liputan temasya sukan, dengan keahlian dibuka kepada wartawan akhbar, radio dan televisyen serta jurukamera dengan yuran tahunan RM10 waktu itu.
Siebel meninggal dunia pada 23 April tahun itu dan kerusi presiden diisi oleh pengulas sukan, Rahim Razali (kini Datuk) secara sah pada 25 Julai tahun itu.
Turut mengasaskan SAM ialah Rahim, Kler (Kinabalu Times/Sabah Sports Parade) selaku setiausaha dan Mansoor Rahman selaku penolong setiausaha. Kler juga pegawai olahraga disegani dan pengurus pasukan olahraga ke Sukan SEA 1967. Kler juga pegawai statistik untuk Persatuan Olahraga Amatur Asia.
Ahli lain ialah bendahari Lee Pek Hoo (Nanyang Siang Pau), serta ahli jawatankuasa eksekutif R. Jeyanathan (Radio Malaysia), Conrad Ng (Straits Times), Wong Siew Hoon (China Press), Matmor Bachik (Utusan Malaysia), Chang Cheng (Sin Chiew Jit Poh) dan S.L.E. Maran (Tamil Nesan).
Hadir dalam mesyuarat ialah Chan Tin Wang, Liew Mok Yoong, Alex Soars, Francis Emmanuel, Rahim Kassim, Tony Francis, Ian Pereira, Peter de Souza, Sajab Siraj, Tony Danker, Ma'arof Mohamed Nor, M.T. Lingham, Ibrahim Ngah (Kumpulan Straits Times), Abdul Ghani Othman, Khalid Jafri, B. Abdul Ghani, Taufik Kajai (Kumpulan Utusan Melayu), Baharin Tahir, Ronnie Atkinson, Santokh Singh Gill (Radio Malaysia), Harjit Singh, Idris Nordin, K. Chandrashekaran (TV Malaysia), Liew Koon Siong (China Press), Alban Gomes (Bernama), Tan Oou Teck (Nanyang), Ben Variyan (Eastern Sun), R.D. Selva (Straits Echo) dan Hari Chand (bebas).
Rahim yang bekerja sebagai pegawai penerangan Malayan Tobacco Berhad (MTC) disahkan sebagai presiden kedua dalam mesyuarat agung luar biasa, dengan mengumumkan enam rancangan, iaitu:
# menjalin hubungan akrab dengan persatuan penulis sukan luar negara
# membantu menyediakan kemudahan seperti penginapan dan kenderaan untuk rakan setugas dari luar negara dalam membuat liputan kejohanan antarabangsa seperti Piala Thomas dan Sukan SEAP.
# mengeratkan perhubungan di antara ahli dan pegawai pentadbir sukan tanah air
# memperbaiki alat kelengkapan anggota media di Stadium Merdeka dan Stadium Negara
# mengeluarkan risalah percuma mengenai perkembangan dan penganjuran sukan untuk ahli
# melaksanakan rancangan AJK SAM dalam perancangan dengan tegas
Selepas Rahim, SAM diterajui Kler dari 1978 hingga 1980 apabila Zainuddin Bendahara terpilih selaku presiden.
Di bawah Zainuddin yang juga pengarang sukan Berita Harian, SAM mewujudkan skim kebajikan untuk ahli selain menyediakan ruang pejabat dengan seorang setiausaha eksekutif. Pentingnya ruang pejabat memastikan mesyuarat tidak lagi diadakan di Jalan Riong, MTC, restoran Stadium Merdeka atau nasi daun pisang di Brickfields.
Lebih penting suara SAM diperluaskan dengan kewujudan Hadiah Murni bertujuan mengiktiraf atlet kebangsaan menerusi satu anugerah, disusuli Anugerah Emas SAM-Benson & Hedges pada 1986.
Zainuddin diganti oleh Fauzi Omar (Datuk) yang memimpin SAM dari 1990 hingga 1998. Fauzi mengangkat martabat SAM dengan mewujudkan anugerah bola sepak kebangsaan dengan kerjasama Glamoir World of Sports selain meluaskan pengaruh SAM selaku naib presiden Kesatuan Wartawan Sukan Asia (ASPU), manakala Johnson Fernandez dipilih Setiausaha Agung ASPU. Exco SAM juga menjayakan Kongres AIPS membabitkan 180 peserta di Kuala Lumpur pada 1996.
Fauzi turut mendapatkan sebuah banglo di Kelana Jaya sebagai rumah kelab SAM pada 1997. Fauzi dan pengurusan tertinggi SAM mempertahankan kedudukan untuk penggal 1998-2000 pada 31 Mei 1998 tetapi meletak jawatan atas desas-desus dakwaan SAM eksklusif untuk kelompok tertentu. Zainuddin kembali menstabilkan keadaan sebagai presiden pada Oktober tahun itu.
Pada 2000, dalam saingan tiga penjuru untuk kerusi presiden, Shaukei Kahar meraih 27 undi menewaskan penyandang Zainuddin yang menerima 21 undi manakala Hussin Ibrahim dua undi.
Penulis pula memenangi kerusi Setiausaha Agung menewaskan L. Jaiarajo dan antara tugas penting penulis melaksanakan ketetapan dalam mesyuarat agung untuk menjual rumah kelab SAM.
Mustakim Aminuddin dan Abu Bakar Atan bersilih ganti menjadi presiden sebelum Abu Bakar menarik diri lalu memberi laluan kepada Ahmad Khawari menerajui SAM pada 2009.
Ahmad Khawari dan rakan-rakannya mengembalikan prestij anugerah SAM serta membawa SAM ke persada dunia.
Dalam temu ramah dengan media, Jasni menegaskan laporan media sukan harus lebih berani di bawah pemerintahan kerajaan baharu.
Namun harus diingat, SAM tiada kuasa mengawal apa yang ditulis atau tidak dilapor kerana kata putus terletak di tangan pengarang sukan dan keberanian penulis menyuarakan sesuatu isu.
Media sukan tempatan juga berdepan isu etika dalam era laporan secara langsung atau real time reporting menerusi laman sosial seperti Facebook, twitter dan instagram kerana penulis harus bertanggungjawab terhadap setiap patah perkataan sama ada dalam ruang peribadi atau dinaungi majikan.
Menjelang ulang tahun jubli emas SAM tahun, soalnya apakah ia kembali kepada asas perjuangan, menitikberatkan kebajikan ahli dan bekas ahli, mendidik ahli agar bertanggungjawab dan beretika serta memastikan pentadbir persatuan sukan memahami tugas media serta menyediakan suasana kondusif untuk situasi menang-menang, atau persatuan itu meluaskan pengaruhnya dengan agenda tertentu?
SENARAI PRESIDEN SAM
Norman Siebel (1969)
Rahim Razali (1969-1978)
G.S. Kler (1978-1980)
Zainuddin Bendahara (1980-1990)
Fauzi Omar (1990-1998)
Zainuddin Bendahara (1998-2000)
Shaukei Kahar (2000-2002)
Mustakim Aminuddin (2002-2004)
Abu Bakar Atan (2004-2009)
Ahmad Khawari Isa (2009-2018)
Jasni Shafie (2018)
Must-Watch Video