Skip to main content

Rencana

Salah kembali hebat kerana yoga?

salah_1.jpg
Pasti ramai lelaki yang berminat untuk tahu lebih lanjut tentang senaman yang berasal dari India ini selepas Mo Salah kembali menyumbangkan gol buat Liverpool ketika menjinakkan Chelsea di Anfield.

Gol kedua yang diledak pada minit ke-53 itu juga bukan biasa-biasa - hantaran dari pertahanan, Virgil Van Dijk dimanfaat Salah dengan membuat satu hayunan padu kaki kiri dari jarak jauh yang tepat membawa bola menerjah ke gawang gol Chelsea yang dikawal, Kepa Arrizabalaga.

Satu stadium bergema dengan sorakan - ada yang mahu jaringan itu dicalonkan sebagai penerima Anugerah Puskas 2019 nanti. Para pemain Liverpool pula berlari mencari susuk tubuh raja bola Mesir itu untuk sebuah keraian - tetapi Salah tercegat di satu sudut dengan rutin popular dari senaman yoga.

“I’m a yoga man!”

Secara berseloroh Salah menjawab pertanyaan bekas pemain bola sepak yang kini bertugas di Sky Sports, Jamie Redknapp, selepas Liverpool kembali memintas Manchester City di persada Liga Perdana Inggeris.

Salah mungkin menemui ketenangan yang dicari daripada amalan yoga - namun latihan yang dilakukan baru-baru ini diakui banyak membantu dia keluar dari jangkauan pemain lawan.

Kemarau jaringan yang dihadapi pemain berusia 26 tahun itu menyaksikan dia hanya memiliki purata 0.64 gol bagi setiap perlawanan - tidak hairanlah mengapa satu usaha keras dilakukan untuk dia kembali temui sentuhan bersama Liverpool.

Jaringan yang menyaksikan Liverpool tewaskan Chelsea 2-0 pada baki kira-kira sebulan sebelum berakhirnya saingan liga musim ini merupakan gol ke-53 Salah bersama pasukan - dimana 44 gol dihasilkan menerusi rembatan kaki kirinya.

Terdahulu, Liverpool jatuh ke tangga kedua liga selepas pencabar dan juara bertahan, Manchester City, merekod kemenangan 3-1 ke atas Crystal Palace - namun ia tidak dibenarkan pengendali, Jurgen Klopp, berlaku dalam tempoh masa yang lama kerana motivasi baik diperlukan anak buahnya untuk mempertahan kelebihan dalam aksi timbal balik suku akhir Liga Juara-Juara Eropah di laman Porto, Khamis ini.

Advertisement

Must Watch Video