Skip to main content

Rencana

Saingan pusingan kedua tuntut keampuhan lebih menyeluruh

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

malaysia-2.jpg
Skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe menepati ramalan untuk mara ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 selepas melepasi halangan Timor Leste dengan agregat 12-2 di peringkat play-off.

Namun, Harimau Malaya jelas perlu lebih bersedia menghadapi saingan pusingan kedua yang membabitkan 40 pasukan terbaik Asia yang akan dibahagikan kepada lapan kumpulan.

Juara setiap kumpulan dan empat naib juara terbaik akan mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia serta layak ke Piala Asia 2023.

Kerana itu, penulis amat berharap sekretariat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan merangka persiapan terbaik buat skuad negara dengan memastikan adanya sekurang-kurangnya satu aksi persahabatan sebelum setiap perlawanan kelayakan pusingan kedua.

Penulis juga percaya, Cheng Hoe turut mengenal pasti beberapa kelemahan skaud negara yang perlu diatasi sebelum bersaing di pusingan kedua.

Meskipun kita mudah meratah Timor Leste di play-off, setiap pasukan di pusingan kedua jelas lebih ampuh.

Secara peribadi, penulis berasakan skuad kali ini adalah yang terbaik yang dibentuk Cheng Hoe sejak menjadi pengendali skuad senior pada Disember 2017.

Namun, penulis turut berharap Cheng Hoe mampu mempertimbangkan kelibat pemain Johor Darul Takzim (JDT), Afiq Fazail dan pemain Perak, Brendan Gan.

Penulis berasa aksi konsisten dua pemain tengah itu musim ini, mampu menambah keampuhan jenteran tengah negara yang menggunakan formasi 4-3-3.

Afiq tampak cukup yakin beraksi di saingan Liga Juara-Juara Asia bersama JDT manakala, Brendan kini di tahap terbaik yang mengingatkan kembali kelibatnya ketika mula mencipta nama di Liga A Australia bersama Sydney FC pada 2010-2011.

Brendan sebelum ini pernah dihimpit masalah kecederaan lutut ACL namun, setakat ini tampak semakin konsisten dan tidak lagi dihantui kecederaan tersebut.

Satu aspek positif daripada aksi dengan Timor Leste, sudah pasti kelibat Shahrel Fikri Md Fauzi yang meledak hatrik pada 11 Jun lalu serta satu gol pada aksi 6 Jun lalu.

Seperti yang penulis tekankan dalam penulisan sebelum ini, Shahrel perlu meneruskan usaha kerasnya untuk memastikan dia adalah pilihan utama Cheng Hoe selepas ini.

Ramalan penulis, kita akan mara ke Piala Asia 2023 tetapi, ia bergantung kepada percaturan Cheng Hoe kelak dan barisan pemain untuk melaksanakan segala perancangannya di atas padang.

Mungkin ada peminat yang akan berasakan penulis terlalu optimis terhadap skuad negara, tetapi dalam bola sepak, tiada yang mustahil jika barisan pemain dan tenaga kejurulatihan bekerja keras dengan seikhlas hati, demi lencana di dada.

 

Advertisement

Must Watch Video