Skip to main content

Rencana

Sabah tanya, apa khabar Liga Super?

sabah-super.jpg
'Penantian satu penyeksaan' itu antara bait lirik lagu milik kumpulan 'rock kapak' popular, Febians, di awal tahun 90-an dan begitulah juga perasaan penyokong Sabah selama ini yang sangat merindui pasukan kesayangan mereka itu untuk kembali ke kancah utama bola sepak negara. 

Setiap kali musim baru bermula pada tahun-tahun sudah, pastinya 'mencuri' salah satu daripada dua slot ke Liga Super menjadi harapan setiap penyokong Sabah.

Bagaimanapun, saban tahun harapan mereka sering berkecai. Bukan setakat berkecai, malah ada musim-musim pasukan yang kini bergelar Tambadau itu terpaksa bergelut untuk terus kekal dalam liga divisyen dua negara. 

Selepas Liga Super diperkenalkan pada 2004, Sabah hanya mampu bertahan selama dua musim sebelum jatuh ke Liga Perdana dan terpaksa mengambil masa sehingga empat musim sebelum naik semula ke Liga Super pada 2011.

Bagaimanapun, 'jodoh' mereka dengan Liga Super selepas itu lebih pendek berbanding sebelumnya apabila diturunkan pangkat semula ke Liga Perdana pada 2013.

Bagaimanapun, selepas hampir tujuh tahun terkurung semula dalam saingan Liga Perdana, Sabah akhirnya berjaya menempah tempat untuk sekali lagi beraksi dalam liga utama negara musim depan. 

Bukan setakat itu saja, skuad Tambadau kini juga semakin hampir untuk menamatkan kemarau 23 tahun tanpa trofi apabila hanya memerlukan satu lagi kemenangan bagi mengesahkan kejuaraan Liga Perdana musim ini. 

Selepas mengharungi pra-musim yang agak sukar, termasuk masalah kewangan yang serius sehingga hampir tersingkir daripada saingan Liga Malaysia, tiada siapa menyangka Sabah mampu mencapai sehingga ke tahap ini. 

Keupayaan Sabah juga diragui pada awal musim apabila kecundang 1-2 kepada Johor Darul Ta'zim II (JDT II) dalam aksi pertama mereka di gelanggang sendiri, seterusnya hanya mencatat keputusan seri 3-3 dengan Kelantan di gelanggang lawan. 

Namun, skuad kendalian Jelius Ating itu bangkit dengan garang apabila mencatat tiga kemenangan berturut-turut dan seterusnya melaungkan amaran mereka masih mampu memberi saingan sengit untuk merebut slot Liga Super. 

Selepas 17 perlawanan yang diharungi setakat ini, Sabah hanya tewas dua kali, namun mencatat 11 kemenangan dan empat kali seri untuk mengumpul 37 mata, sekali gus mengesahkan tempat ke Liga Super walaupun masih memiliki baki tiga perlawanan. 

Ia satu pencapaian yang boleh dikatakan luar biasa dengan segala permasalahan dihadapi Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) sebelum musim ini bermula. 

Mungkin itulah sebabnya slogan 'biar tunduk tapi menanduk' dicipta untuk skuad Tambadau itu pada musim ini kerana walaupun bermula sebagai pasukan 'underdog' ,mereka akhirnya menjadi pasukan terkuat Liga Perdana. 

Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua barisan pasukan Sabah, termasuk pucuk pimpinan SAFA, pengurusan, pemain, penyokong dan semua yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak dalam memastikan Sabah mencapai sasaran kembali ke Liga Super musim depan.

Jika Jumaat lalu Sabah bertemu JDT II, tahun depan bertemu JDT pula! Selamat kembali ke Liga Super Sabah!

Advertisement

Must Watch Video