Skip to main content

Rencana

Ronaldo: Hebat bukan hanya di celah kaki

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

ronno2.jpg
Ronaldo dan Neymar sering diperbandingkan – akhir-akhir ini di atas tuduhan keghairahan di atas ranjang.

Di atas padang pula, perbandingannya akan berterusan di antara Ronaldo dan Lionel Messi – cuma ketika ini kapten Portugal itu yang lebih unggul serba-serbi.

Ia harus seminggu yang sarat dengan berita sensasi membabitkan dua daripada tiga bintang utama bola sepak dunia di sebalik ia di atas sebab-sebab yang tidak diingini mereka.

Seorang model, Najila Trindade Mendes de Souza, membuat laporan polis di Sao Paulo, Brazil, 31 Mei lalu, mendakwa Neymar memukul dan merogolnya di sebuah kamar hotel di Paris – kota di mana penyerang Brazil itu beraksi untuk kelab Paris Saint-Germain (PSG) – pada 15 Mei lalu.

Jelitawan berusia 26 tahun itu mendakwa menyusuli perkenalannya menerusi Instagram, Neymar membelikannya tiket penerbangan ke Paris pada pertengahan bulan lalu, dengan kedua-duanya bermalam di hotel mewah berkenaan apabila kejadian itu didakwa berlaku.

Dalam reaksi serta-mertanya selepas laporan itu didedahkan, Neymar menafikan tuduhan terhadapnya melalui satu video yang dimuat naik ke Instagram sambil mempertahankan apa yang berlaku adalah satu perangkap dengan tujuan untuk memeras ugutnya.



Di sebalik bertujuan menjernihkan keadaan, video itu yang disusuli satu temu bual secara langsung wanita itu dengan stesen televisyen Brazil, SBT, Ahad lalu, hanya mendorong polis untuk memperhebatkan siasatan.

Hampir pada waktu yang sama minggu lalu, peguam yang mewakili seorang model Amerika Syarikat, Kathryn Mayorga, telah memfailkan semula tuduhan di Mahkamah Persekutuan AS dengan dakwaan Ronaldo merogolnya di sebuah hotel di Las Vegas pada 2009.

Pelbagai penerbitan sebelum ini melaporkan kes itu yang asalnya difailkan di sebuah mahkamah sivil daerah di Las Vegas pada Oktober tahun lalu, telah digugurkan secara senyap-senyap, namun dinafikan oleh peguam, Larissa Drohobyczer, yang mewakili model berkenaan, yang berusia 25 tahun ketika kejadian.

“Kes terhadap Ronaldo tidak digugurkan, (sebaliknya) kami hanya memindahkannya dari sebuah mahkamah daerah ke Mahkamah Persekutuan. Tuduhan ke atas pemain itu masih kekal,” kata Drohobyczer seperti dipetik CNN.

Bagaimana pula reaksi kedua-duanya terhadap kontroversi masing-masing di atas padang?

Neymar, yang bersama skuad kebangsaan Brazil dalam rangka persiapan menjelang Kejohanan Copa America kira-kira seminggu lagi, tercedera buku lali dalam kemenangan 2-0 ke atas Qatar dalam satu perlawanan persahabatan di Brasilia, semalam.

Impak daripada kecederaannya itu memaksa pengurus, Tite, menyisihkan terus Neymar – yang terdahulu dilucutkan peranan kapten kerana menumbuk seorang penyokong Rennes selepas PSG tewas final Piala Perancis, bulan lalu – sambil reputasinya terus dirosakkan.



Berlawanan dengannya, Ronaldo pula memilih kesempatan terbaik dalam separuh akhir Liga Negara-Negara hasil hatriknya ketika mengetuai Portugal menyingkirkan Switzerland 3-1 di Estadio do Dragao, Porto awal pagi semalam untuk terus menyerlahkan diri selaku “bintang di pentas terbesar”.

Disingkirkan bersama Juventus oleh Ajax dalam suku akhir Liga Juara-Juara, 17 April lalu, Ronaldo dianggap ramai sudah boleh melupakan impian untuk bergelar pemenang Ballon d’Or buat kali keenam.

Namun, hatrik terbarunya itu – yang ke-53 dalam kariernya untuk kelab dan negara – di samping peluang untuk menambah jaringan serta bergelar juara sulung Liga Negara-Negara dalam final menentang Belanda, Ahad ini, melonjakkannya kembali antara pilihan hangat untuk anugerah berkenaan.

Ia sekadar memanjangkan rekod jaringannya di pentas besar – daripada Euro 2004, Piala Dunia 2006, Euro 2008, Piala Dunia 2010, Euro 2012, Piala Dunia 2014, Euro 2016, Piala Konfederasi 2017, Piala Dunia 2018 dan kini Liga Negara-Negara 2019.

“Genius,” kata pengurus Portugal, Fernando Santos, sebagai menyimpulkan kehebatan pemain bintangnya itu.

Tentu sekali dia bermaksud bukan hanya di celah kaki pemain berusia 34 tahun itu. 
 

Advertisement

Must Watch Video