RENCANA
Ronaldinho? Biar Betul?
Biar betul?
Mampukah nak bayar yuran perpindahan dan gaji bekas pemain terbaik dunia 2004 dan 2005 itu.
Kontrak pemain tengah itu bernilai RM47.7 juta setahun dan sudah tentu ini bukan eksperimen kerana silap langkah persatuan boleh bankrap.
Iklan
Saya bukan nak bercakap mengenai kemampuan kewangan Pahang tetapi langkah yang diambil untuk bola sepak Malaysia mendapatkan seorang lagi bintang dunia.
Bagi saya, kejayaan Sabah mendapatkan bekas penyerang Liverpool, El Hadji Diouf sepatutnya jadi fenomena.
Tetapi, penyerang antarabangsa Senegal itu tidak begitu menyerlah apabila hanya meledak 2 gol, mungkin kerana gagal menyesuaikan diri dengan bola sepak Asia Tenggara.
Sabah juga kekal di Liga Perdana musim depan.
Jadi, adakah Diouf satu pembelian berbaloi?
Perlu diingatkan, pemain-pemain ini berada di penghujung karier dan ada dua sebab saja untuk datang ke Malaysia iaitu sama ada kerana wang atau mencari keseronokan bermain bola sepak.
Berbalik kepada Ronaldinho, dia sudah menyarung jersi Paris Saint-Germain (Perancis), Barcelona (Sepanyol), AC Milan (Itali), Flamengo/ Atlético Mineiro (Brazil), Queretaro (Mexico) dan ketika ini Fluminense (Brazil).
Tetapi, sayangnya dia masih belum menjaringkan gol selepas sembilan perlawanan.
Pada usia 35 tahun, dia sudah berada di hujung karier dan saya percaya dia sedang mencari keseronokan bermain bola sepak kerana era kegemilangan sudah berlalu.
Pemain bintang lain seperti Kaka dan Steven Gerrard juga sedang melalui fasa sama di Amerika Syarikat.
Apa alasan sebenar untuk mengambil Ronaldinho?
Mempertahankan trofi atau mengukuhkan aspek penjenamaan kerana walaupun di hujung karier tetapi dia masih lagi Ronaldinho.
Jika benar Pahang sedang mengorak langkah, mereka patut diberi kredit kerana berjaya meneroka pasaran yang boleh mensensasikan bola sepak Malaysia.
Must-Watch Video