Skip to main content

Rencana

Robot Osaka

naomi-osaka_2.jpg
Empat bulan lalu, merupakan detik terindah dalam hidupnya apabila pertama kali meraih gelaran Grand Slam, namun sedikit terpalit dengan perasaan bercampur baur apabila beraksi dalam perlawanan final yang sengit dan kontroversi apabila menundukkan pemain kesayangan tuan rumah Amerika Syarikat iaitu Serena Williams. Tidak pada kali ini, kejayaan Naomi Osaka hanya bermandikan air mata kegembiraan setelah berjaya menewaskan Petra Kvitova dalam acara final Terbuka Australia.

Dalam masa setahun, Osaka begitu pantas memperbaiki kedudukannya dari ranking ke72 dunia dan apabila meraih gelaran Terbuka Australia ini, rankingnya melonjak ke nombor satu dunia. Beliau memang telah dijangka untuk menyerlah dalam arena tertinggi kejohanan tenis namun kepantasan Osaka dalam mencipta rekod ini sama sekali tidak dijangka.

Bagaimanapun ianya bukan perlawanan mudah menentang Kvitova yang tak kurang hebatnya apabila mampu menempah tempat di saingan akhir setelah bergelut dengan kecederaan tangan dalam kejadian rompak yang menimpa dirinya pada Disember 2016. Selepas terikat di set kedua, Osaka mula melumpuhkan segala emosi di dada dan bertindak seperti ‘robot’. Beliau berkongsi akan pengalaman tersebut dan mengatakan apabila beliau menjadi robot, segala perasaan dapat dilupakan seketika termasuk perasaan gemuruh apabila sedar sesuatu perlu dilakukan di set ketiga.

Oleh itu, beliau berjaya bangkit seterusnya mengatasi Kvitova dengan mencatatkan kemenangan dalam perlawanan yang berlangsung selama 2 jam 27minit itu. Selaku pemain pilihan keempat di saingan ini, Osaka menjadi pemain termuda yang memenangi kejuaraan major berturut-turut selepas kali terakhir diperolehi oleh Caroline Wozniacki pada tahun 2010.

Disebalik usaha keras dengan latihan di bawah jurulatihnya Sascha Bajin, Osaka berkongsi akan tulang belakang yang sering bersama beliau dalam setiap kesukaran yang dihadapi. Ia tidak lain tidak bukan bapanya sendiri Leonard Francois  iaitu berasal dari Haiti yang dikatakan tidak pernah rasa seronok menyaksikan Osaka dalam perlawanan tenis.Namun beliau sentiasa ada untuk memberi sokongan moral dan sentiasa tahu bagaimana untuk menghiburkan anaknya itu dikala kehilangan semangat ataupun berada dalam tekanan.

Individu berdarah campuran Jepun, Haiti dan Amerika ini mendapat tumpuan apabila beliau menjadi pemain Asia pertama meraih kejuaraan Grand Slam. Setelah meraih kedudukan ranking pertama ketika ini sudah pasti beliau perlu mengekalkan momentum dan misi seterusnya buat Osaka adalah menjuarai Kejuaraan BNP Paribas dan Terbuka Miami.

Advertisement

Must Watch Video