Skip to main content

Rencana

Rizal Ghazali rupa-rupanya yang dinanti!

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

311016rizalghazali.jpg

Penantian lapan tahun skuad Hijau Kuning untuk kembali mendakap Piala Malaysia akhirnya menjadi kenyataan dan berjaya direalisasikan oleh anak-anak buah Tan Cheng Hoe. 

Tumpuan tentunya terarah kepada pemain terbaik perlawanan akhir, Rizal Ghazali.

Baru sahaja mencecah 24 tahun pada 1 Oktober lalu, Rizal kini menjadi sebutan peminat Lang Merah apabila muncul wira menyempurnakan sepakan penalti terakhir yang memberikan kemenangan 6-5 menumpaskan Selangor di Stadium Shah Alam. 

Terdahulu, Rizal berjaya mencuri tumpuan dengan memastikan penyokong Selangor terdiam seketika dengan gol pembukaan menewaskan penjaga gol Selangor, Khairul Azhan Khalid, apabila rembatannnya terbias daripada S. Veenod sebelum menerjah gawang.

Bagaimanapun, impian Kedah untuk muncul pemenang berjaya dilengahkan oleh Hazwan Bakri yang menyamakan kedudukan untuk membawa perlawanan ke masa tambahan dan seterusnya ke  penentuan sepakan penalti.

Dan sememangnya tanggal 30 Oktober malam buat Rizal. 

Pada masa Shane Smeltz gagal menyempurnakan penalti “panenka” dan peluang seakan-akan berkubur buat Kedah, mereka kembali bangkit apabila Azmi Muslim dan Hafiz Kamal turut gagal menyempurnakan penalti buat Selangor. 

Jika tuah ayam nampak di kaki, tuah Rizal pula terletak pada sepakan penalti ketujuh apabila kegagalan Rizal Fahmi menyempurnakan sepakan penalti berjaya dihukum Rizal Ghazali yang tenang menyepak ke arah kanan gawang untuk membawa Kedah muncul Juara Piala Malaysia edisi ke-90 ini.

Dengan kejayaan ini, tentunya peluang buat Rizal yang telah pun mewakili skuad senior kebangsaan semakin cerah untuk menjadi kesebelasan utama dalam  saingan Piala AFF Suzuki nanti.

Apatah lagi, dia mempamerkan persembahan cemerlang dalam perlawanan akhir dengan merantai kemas R. Gopinathan selain menidakkan setiap asakan daripada Patrick Ronaldinho.

Dari Billy Mehmet ke Chidi Edeh hinggalah ke Thiago Augusto, rupa-rupanya Rizallah yang dinantikan seluruh warga Hijau Kuning untuk mengembalikan Piala Malaysia ke bumi Darul Aman.

Advertisement

Must Watch Video