Skip to main content

Rencana

Relakan Azrif ke JDT

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

280616-azrif-nasrulhaq.jpg

Tanpa berselindung lagi, pertahanan kanan Selangor, Mohd. Azrif Nasrulhaq, akhirnya secara jujur mahu beraksi ke Johor DT secepat mungkin.

Penulis yang menemubual Azrif semasa di Nadi, Fiji, nampak keresahan pada diri pemain berusia 25 tahun ini yang seperti kebingungan fikirkan masa depannya.

Seperti episod kedua babitkan Azrif, Selangor dan JDT, nyata perasaan Azrif membuak-buak kali ini dan dia kelihatan sudah tekad bersama Harimau Selatan walaupun sanggup menebus kontrak bernilai RM720,000.

Hatinya jelas mahu ke JDT namun tindakan Selangor yang enggan melepaskannya, menjadikan isu makin bertambah sukar untuk diselesaikan.

Memang wajar Selangor ada hak ke atas Azrif kerana dia telah tandatangani kontrak lanjutan sehingga 30 November 2017 namun dalam hal ini, nyata budi bicara Persatuan Bola Sepak Selangor(FAS) perlu ada.

Rasanya bukan satu perkara yang positif jika FAS terus enggan lepaskan Azrif kerana bukan sahaja merosakkan moral pemain itu sendiri tetapi juga buat keseluruhan pasukan Selangor.

Mungkin selepas apa yang berlaku, Selangor dan Azrif perlu lakukan pertemuan empat mata, perhalusi apa yang terbaik buat kedua-dua pasukan.

Tiada siapa yang salah dalam hal ini kerana FAS dan Azrif ada hujah tersendiri serta fikirkan apa yang terbaik buat pihak masing-masing.

Alasan Azrif memang berasas mahu dapatkan tawaran yang lebih baik kerana karier sebagai seorang pemain bola sepak tidak lama dan inilah masa menuai hasil ketika kudrat masih ada.

Manakala Selangor, mereka pasti berdepan kesukaran mendapat pengganti setanding Azrif yang merupakan antara pertahanan kanan terbaik negara buat masa kini.

Mungkin kena ada situasi menang-menang di sini agar perpisahan antara Azrif dan Selangor akan berjalan penuh harmoni serta hasrat pemain dari Kota Damansara ini untuk bersama skuad JDT, tercapai.

Advertisement

Must Watch Video