Skip to main content

Rencana

Real Madrid, Bayern Munich cemerlang, The Citizens tumbang

real.jpg
Pasukan gergasi, Real Madrid dan Bayern Munich, seperti biasa berjaya mengutip tiga mata dalam perlawanan pertama Liga Juara-Juara Eropah manakala nasib berbeza menimpa juara bertahan Liga Perdana Inggeris, Manchester City, apabila tewas di laman sendiri.

Biarpun tanpa kelibat Cristiano Ronaldo, Los Blancos beraksi dengan amat baik berdepan AS Roma di Santiago Bernabeu. Anak-anak buah Julen Lopetegui menyerang daripada awal permainan dengan gandingan Karim Benzema, Isco dan Gareth Bale ternyata mengasak kubu Roma dan menghasilkan dua gol hasil sentuhan Isco dan Bale. Malah, pengganti jersi nombor 7, Mariano Diaz, juga meledakkan satu gol pada minit-minit akhir permainan. 

Bagi Bayern Munich, kunjungan ke Stadium Da Luz berdepan Benfica ternyata dimanfaatkan sepenuhnya apabila membawa pulang tiga mata berharga. Seperti biasa, ayam tambatan mereka, Robert Lewandowski, menjaringkan satu gol manakala satu lagi gol adalah hasil sumbangan Renato Sanchez. Ini merupakan permulaan baik buat pengendali baru, Niko Kovac, dalam Liga Juara Juara Eropah edisi kali ini.

Berlainan pula ceritanya di Stadium Etihad. Tuan rumah dilihat bergelut sewaktu berdepan wakil Perancis, Lyon. Tatkala pengendali Manchester City, Pep Guardiola, berada di tempat duduk penonton, City ketinggalan 0–2 hasil jaringan Maxwell Cornet dan Nabil Fekir. Jaringan Bernardo Silva pula sekadar merapatkan jurang gol tetapi Lyon tetap membawa pulang tiga mata berharga.

Dengan saingan Liga Juara Juara Eropah baru memasuki satu perlawanan, penulis percaya akan ada banyak lagi kejutan akan berlaku pada masa akan datang. Apapun, saingan Liga Juara Juara Eropah sememangnya menjanjikan keseronokan dan kegembiraan kepada peminat bola sepak.

Terima kasih juga kepada pihak Astro kerana berjaya membida hak untuk setiap perlawanan ditontonkan di kaca televisyen.

Advertisement

Must Watch Video