Skip to main content

Rencana

Real Madrid atau Barcelona?

real-madrid.jpg
Seperti musim-musim sebelumnya, saingan La Liga Sepanyol musim ini sekali lagi tertumpu kepada dua kelab utamanya, Real Madrid dan Barcelona untuk merebut mahkota kejuaraan liga.

Ketika artikel ini ditulis, masing-masing sudah mengumpul 81 mata dengan Barcelona di puncak menerusi kelebihan jaringan.

Begitupun Real kekurangan satu perlawanan dan secara mudahnya, mereka hanya perlu menang kesemua perlawanan jika ingin merampas gelaran liga ini daripada Barcelona.

Peluang Barca kembali cerah selepas mereka menewaskan seteru utama mereka itu di Santiago Bernabeu minggu lalu dengan Lionel Messi cipta sejarah tersendiri, merekodkan jaringan peribadi ke-500 bersama Barca.

Nyata momentum kini lebih memihak kepada Barca apatah lagi Real kelihatan sedikit goyah di samping perlu beri tumpuan kepada kempen Liga Juara-Juara menentang Atletico Madrid di separuh akhir.

Hanya sedikit kealpaan buat Real akan menyaksikan Barcelona manfaatkan sepenuh peluang untuk memintas secara mutlak.

Apatah lagi ini sahaja gelaran yang mungkin sesuai dijadikan sebagai "hadiah perpisahan" kepada pengendali Barca, Luis Enrique yang tidak akan meneruskan khidmatnya bersama kelab Catalan itu.

Manakala kredibiliti Zinedine Zidane sebagai pengurus Real akan dikukuhkan lagi andai dia mampu mencapai gelaran yang kali terakhir dimenangi pada musim 2011/2012, ketika itu Real di bawah kendalian jurulatih kelahiran Portugal, José Mourinho.

Persaingan sengit ini sememangnya digemari peminat bola sepak tetapi secara tidak langsung ia telah mewujudkan satu jurang buat pasukan-pasukan lain untuk berikan cabaran.

Faktor kewangan dan ekonomi juga menjadi salah satu daripada punca mengapa kelab lain tidak mampu bersaing dengan dua kelab gergasi ini.

Jadi sekali lagi kita akan bertanyakan "Real Madrid atau Barcelona" untuk siapa juara La Liga musim ini.

 

Advertisement

Must Watch Video