Skip to main content

Rencana

Ranking tidak bebani Serena Williams ​

serena-200417.jpg
Siapa tidak kenal Serena Williams. Pemain tenis legenda yang masih aktif mencetak kejayaan demi kejayaan. Cuma keputusannya untuk menjalani kehidupan normal seperti wanita lain menyaksikan dia terlepas semua kejohanan yang berlangsung selepas Terbuka Australia 2017 dan terpaksa akur membiarkan pemain dari Romania, Simona Halep menamatkan musim ini sebagai pemain no.1 dunia.

Kecewa bukan ayat yang tepat kerana Serena pastinya menganggap ia sebagai pengorbanan terbesar dan paling bernilai dalam hidupnya menerusi kehadiran bayi perempuan comel bernama Alexis pada September lalu tetapi ia telah membuka mata ramai pihak tentang jaminan buat atlit wanita yang hamil.

Bayangkan Serena yang dianggap cemerlang sebelum ini terpaksa bermula di kelompok 25 terbaik dunia menerusi sistem mata ranking pemain. Justeru ada pihak mencadangkan kutipan mata yang diperolehi pemain yang hamil dibekukan sementara, berbeza dengan kes-kes lain seperti cedera dan doping.

Bagi Serena sendiri, dia sudah pasti tidak akan berpuas hati dengan 23 gelaran Grand Slam yang dimiliki setakat ini. Malah pemain kelahiran Amerika Syarikat ini dilihat sudah bersedia mental dan fizikal untuk kembali menghangatkan jelajah WTA 2018, dengan tugasan besar yang pertama adalah mengaut 2,000 mata dengan mempertahankan kejuaraan di Melbourne. 

Jika anda mengikuti laman sosial jagoan tenis ini, dia sudah pun memulakan perang psikologi kepada para pencabar dengan berkongsi kegembiraannya dan rasa tidak sabar untuk kembali menguasai gelanggang. Bukan cakap kosong, Serena juga tampil bertenaga dalam sebuah kejohanan amal yang turut menampilkan nama-nama besar seperti Andy Murray, berlangsung di Florida baru-baru ini.

Advertisement

Must Watch Video