Setiap tahun umat Islam tidak terlepas dalam menjalani Ibadat Puasa.
Ini termasuklah atlet-atlet Negara.
Saya masih ingat lagi 14 tahun saya mewakili pasukan negara dari tahun 1989 sehingga tahun 2002.
Tidak pernah sekalipun terlepas daripada menjalani latihan semasa bulan Puasa.
Sebagai atlet negara, kita tahu pengorbanan yang perlu dilakukan apabila bulan ramadhan menjelma. Lebih-Lebih lagi setiap tahun pasukan hoki negara sentiasa mempunyai jadual kejohanan yang padat. Ada sahaja kejohanan penting yang harus disertai.
Sama ada Sukan Olimpik, Piala Dunia, Sukan Asia, Sukan Komanwel atau pun kejohanan-kejohanan kelayakkan untuk ke Olimpik atau Piala Dunia.
Di awal pembabitan saya buat pasukan negara adalah zaman Terry Walsh sebagai jurulatih pasukan negara. Persiapan terpenting adalah untuk layak ke Sukan Olimpik Barcelona 1992 menerusi Kejohanan Hoki Kelayakkan Olimpik 1991 di Auckland New Zealand.
Stadium Raja Muda di Kampung Baru menjadi saksi.
Setiap minggu latihan fizikal dan latihan angkat berat dijalankan tiga kali seminggu termasuklah pada bulan ramadhan latihan ini harus diteruskan.
Sebagai pemain, kita faham dan Terry Walsh juga telah memberikan penjelasan yang cukup jelas betapa pentingnya latihan fizikal ini harus dilakukan untuk memastikan tahap kecergasan fizikal kita tidak terjejas selepas Hari Raya nanti.
Jam 3 petang, latihan bebanan bermula di gimnasium Stadium Raja Muda. Selepas satu jam setengah, semua pemain pemain beralih ke padang. Hidangan buat pemain-pemain sama ada 200 meter 20 kali, 300 meter 15 kali atau 400 meter 12 kali. Setiap larian haruslah ditamatkan dalam masa tertentu yang telah ditetapkan.
Dalam keadaan berpuasa, kami gagahi juga. Saya masih ingat di mana Terry Walsh akan menggunakan paip getah dan memancut air kepada pemain pemain dikala pemain-pemain melalui larian kecergasan fizikal itu.
Mat Saleh pun tahu kita berpuasa berlari di bawah panas terik matahari yang mencengkam adalah penting supaya badan kita disejukkan dengan pancutan air tersebut.
Kedengaran juga suara beliau yang berteriak dengan kata-kata laungan semangat agar kita "push" mental dan fizikal kita tatkala kita rasa kita sudah tidak mampu.
Kalau hendak cerita bagaimana untuk menguatkan mental, tidak ada cara lain. Inilah antara caranya apabila kita keletihan selepas latihan angkat berat, berpuasa dan kita harus habiskan larian kecergasan dalam masa yang ditetapkan. Hanya kederat dan kemahuan yang tinggi yang boleh menbuatkan kita terus berlari sehingga tamat. Kita melangkaui batasan pemikiran manusia. Itulah latihan mental yang di perlukan.
Biasanya apabila ramai yang berkata bestnya jadi seorang atlet negara dapat pergi ke negara orang tetapi pengorbanan yang harus ditempuh dan dilakukan oleh atlet negara bukan semua orang tahu dan bersedia lakukan.
Alhamdulillah pasukan negara telah berjaya menjadi pasukan pertama di dalam Kejohanan Kelayakkan Olimpik di Auckland, layak ke Sukan Olimpik 1992 Barcelona selepas menewaskan India 3-2. Selepas lapan tahun kita ke Olimpik semula di mana Olimpik terakhir adalah di LA 1984.