Skip to main content

Rencana

Ragbi Malaysia bakal mengaum lagi?

ragbi.jpg
Buat kali kedua berturut-turut, Malaysia menjadi tuan rumah Kejohanan Ragbi Asia Divisyen 1 setelah kali pertama berlangsung di Bukit Kiara, Kuala Lumpur tahun lalu. Namun, berbeza buat tahun ini apabila mereka menukar lokasi ke Padang Ipoh, Perak sempena Tahun Melawat Perak dan demi memperluaskan kelompok penyokong sukan ragbi.

Kejayaan Malaysia buat edisi lalu bukan sekadar menjadi tuan rumah bagi kejohanan ulung ini, namun pasukan ragbi Malaysia berjaya meraih kejuaraan bagi Divisyen 1, Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2016. 

Bagaimanapun, secara tidak langsung sedikit tekanan kepada pasukan negara apabila diletakkan harapan tinggi bagi mengekalkan kejuaraan tahun lalu. 

Menurut Naib Presiden merangkap pengurus pasukan ragbi Malaysia, Raimi Yusof, sudah tentu beliau dan anak-anak buah tidak terlepas daripada perasaan gugup dan sedikit tertekan apabila perlu berjuang habis-habisan untuk sekurang-kurangya mengulangi kejayaan edisi lalu. 

Namun, apa yang mereka perlu lakukan adalah fokus kepada setiap perlawanan dan turun dengan semangat juang yang tinggi, lebih-lebih lagi bermain di laman sendiri.

Malaysia akan turun menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi pembukaan esok.

Jangkaan yang diberi oleh Exco dan juga pengarah kejohanan , Fahmy Jalil, untuk aksi pertama ini Malaysia mungkin mempunyai sedikit kelebihan daripada segi penyesuaian cuaca berbanding pasukan UAE yang rata-ratanya menggunakan pemain import dari negara Barat yang mungkin tidak begitu serasi dengan keadaan panas di Malaysia, sekaligus akan sedikit menyukarkan rentak permainan mereka.

Untuk perlawanan seterusnya, Malaysia akan menentang Filipina pada 16 Mei dan yang terakhir turun bertemu Sri Lanka pada 20 Mei nanti.

Jika Malaysia sekali lagi berjaya meraih kemenangan untuk kejohanan kali ini, mereka akan bersaing di peringkat Divisyen Perdana bersama Jepun, Korea Selatan dan Hong Kong, seterusnya mencerahkan peluang bagi kelayakan Piala Dunia.

 

Advertisement

Must Watch Video