Bertubuh kecil sesuai usia, lebih banyak tersenyum daripada berkata-kata, kelihatan sedikit pemalu tetapi pastinya dibesarkan dalam keluarga yang berbudi bahasa – itu mungkin hanya penelitian awal saya sebaik pelumba cilik negara, Qabil Irfan Azlan, tiba di set Nadi Arena untuk ditemu bual secara langsung dalam edisi 30 November tetapi benarlah kata orang, kalau nak jadi juara dunia, mentaliti kena lain sedikit.

Seminggu selepas merangkul gelaran juara keseluruhan Kejuaraan Siri Dunia MiniGP 2023 di Valencia, Sepanyol, pelumba yang mesra disapa Qabil itu dalam malunya, tidak mahu berselindung tentang impiannya untuk berada di negara yang membawa tuah kepadanya itu demi mengembangkan bakat dalam sukan permotoran dua roda.

Pelumba berusia 11 tahun dari Terengganu itu berulang alik di antara Gong Badak dan Sepang bagi menjalani latihan dibawah kendalian bapanya dan pasukan ZK Racing yang dinaunginya sejak 2020.

Hasil pengorbanan itu boleh dilihat dengan kejayaan muncul pelumba pertama dari Malaysia yang menjuarai kategori 160cc itu.



Dengan hanya sekejapan, Qabil sudah melihat potensi yang terbit dari kekerapan berlumba di venue seperti Litar Kart Ricardo Tormo yang menyaksikan dia menaiki podium sebanyak tiga kali.

Pengurus Pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin, yang turut sama ke studio dalam temu bual ini, yakin peluang berada di Sepanyol akan memudahkan Qabil untuk menyertai lebih banyak perlumbaan –- peluang yang jarang ditawarkan di Malaysia.

Seperti sukan-sukan yang memerlukan pendedahan di Eropah, bantuan kewangan menjadi faktor utama yang perlu dirancang dengan teliti dan ia sudah pasti membabitkan sokongan penuh penaja.

Alangkah bagusnya sekiranya lebih ramai pihak swasta yang berani tampil mengambil risiko dengan pelaburan jangka panjang seperti ini.



Jika pada usia 11 tahun, Qabil sudah begitu jelas tentang ke mana arah tujunya sebagai pelumba, pasti masa depan yang cerah menantinya dalam sukan ini sekiranya kena pada cara dan gayanya.

Apa yang pasti, sepanjang kira-kira 10 minit temubual yang berlangsung di ibu pejabat Astro di Bukit Jalil ini, tidak ada sekali pun Qabil menyatakan rasa takut untuk berlumba, takut kepada pesaing, mahu pun takut untuk berkelana.

Anda ada impian tak pada usia 11 tahun?