Skip to main content

Rencana

Pulanglah Messi... pulanglah ke Argentina

lionel-messi-argentina-nigeria-world-cup-russi-2018.jpg
Mungkin itulah rayuan peminat bola sepak Argentina sekarang ini tapi sejak Lionel Messi mengemukakan permohonan untuk meninggalkan Barcelona, arena bola sepak dunia memang kecoh dengan pelbagai spekulasi yang cuba merungkai misteri hala tuju bintang Argentina ini?

Pasukan dengan reputasi hebat? Sudah pasti.

Lebih tepat, bukan dari saingan La Liga tapi mesti pasukan dengan kantung besar.

Jika tidak, masakan Bayern Munich mengeluarkan kenyataan yang sekalipun berminat, mereka tidak mampu untuk membayar Messi.

Dua pasukan yang mengungguli senarai yang disebut-sebut berpeluang besar untuk menandatangani Messi adalah Manchester City dan Paris Saint Germain.

Tapi lagi gila bila pasukan tidak ternama, Newell's Old Boys tiba-tiba dikatakan akan jadi destinasi Messi seterusnya.

Messi menghabiskan sebahagian besar usianya bersama Barcelona - malah Messi juga merupakan produk akademi mereka, La Masia Academy.

Tapi sebenarnya, mereka yang berada di Newell's Old Boys Academy adalah individu pertama yang menjadi saksi bakat Messi sebelum penghijrahannya ke Sepanyol seawal usia 13 tahun.

Sebab itu, para penyokong Newell's Old Boys yakin kelab itu ada tempat istimewa dalam hati Messi.

Menurut laporan BBC Sports, beratus penyokong Newell's Old Boys berarak di bandaraya Rosario - tempat kelahiran Messi pada Jumaat.

Kononnya, perarakan ini simbolik bagi menyambut kepulangan Messi setelah sekian lama berkelana.

Mereka sangat yakin kepada 'sentuhan magis' yang dimiliki Newell's Old Boys dalam membawa pulang pemain hebat.

Ironinya, Messi kini berumur 33 tahun - usia sama ketika pemain legenda Argentina, Diego Maradona meninggalkan Sevilla dan kembali ke tanahair.

Maradona kemudiannya mengejutkan dunia apabila menyertai Newell's Old Boys.

Naib Presiden Kelab, Cristian D'Amico dalam satu temubual juga menyatakan tiada yang mustahil kerana ramai yang tidak percaya ketika Newell menandatangani Maradona pada 1993 - begitu juga pemenang piala dunia, David Trezeguet dan bekas pemain Liverpool, Maxi Rodriguez.

Tapi apakah impian besar kelab kecil ini akan terus jadi realiti?

Buat masa ini, Estadio Marcelo Bielsa yang menjadi venue rasmi Newell akan terus membentangkan kain rentang yang bertulis "Your Dream Is Our Dream" dengan bangganya - begitu juga para penyokong Newell yang menyarung baju dan topi yang memaparkan nama dan gambar Messi.

Messi pun sudah pasti tidak kisah kalau penyertaannya ke Newell nanti orang label sebagai ada nilai sentimental atau sebab dia rindukan kampung halaman tapi yang tak seronoknya, pilihan ini akan menampakkan dengan jelas yang kerier Messi sudah sampai ke penghujungnya.

Alahai sedihnya. 

Advertisement

Must Watch Video