Skip to main content

Rencana

PSG juara Ligue 1 musim COVID-19

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

psg_2.jpg
Kehebatan Paris St-Germain, PSG di saingan utama Perancis, Ligue 1 tidak dapat dinafikan, dan kejuaraan hatrik yang diraih kali ini cukup unik serta berada pada kedudukan istimewa dalam lipatan sejarah apabila diangkat selaku juara dek pembatalan liga ekoran Covid-19 yang masih membelenggu dunia.

PSG layak muncul juara selepas memimpin liga menerusi kelebihan 12 mata dan memiliki baki satu perlawanan dalam tangan ketika penundaan saingan Ligue 1 diumumkan pada 13 Mac 2020.

Dalam perasaan bercampur baur, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif PSG, Nasser Al-Khelaifi menerima keputusan kerajaan Perancis untuk membatalkan Ligue 1 dan atas faktor menghormati pengorbanan pesaing lain, PSG berkongsi kejuaraan ini bersama barisan hadapan, kumpulan yang paling banyak berkorban demi kesejahteraan sejagat.

Trofi Ligue 1 ini juga diharap dapat menyuntik kegembiraan di kalangan peminat sukan bola sepak, khususnya penyokong setia PSG dalam menghadapi kesukaran akibat pandemik ini.

Situasi yang berlaku di Perancis ini bagaimanapun sedikit berbeza dengan pembatalan saingan liga utama Belanda, Eredivisie sebelum ini apabila tiada pasukan diumumkan selaku juara, dengan 2 pasukan teratas liga, Ajax Amsterdam dan AZ Alkmaar dihadiahkan slot ke Liga Juara Juara Eropah musim hadapan.

Jika badan pentadbir Eredivisie tidak menerapkan kaedah penyingkiran pasukan dari zon relegasi, Amiens dan Toulouse yang menjadi 2 pasukan tercorot Ligue 1 pula perlu mengucapkan selamat tinggal apabila akan beraksi di liga kedua selepas ini.

Ketika semua keputusan di atas seakan diterima semua pihak dengan tangan terbuka, Lyon menjadi pasukan pertama yang mahu ia dikaji semula dengan mendakwa berada pada tangga kelima seminggu sebelum saingan dihentikan, tetapi dinokhtahkan sebagai pasukan ditangga ketujuh, sekali gus terlepas peluang ke saingan Liga Europa musim hadapan.

Liga Perancis, LFP bagaimanapun dilihat mempunyai masa yang cukup untuk menyelesaikan segala persoalan yang berbangkit mahupun menyusun segala kemungkinan - 24 hari sebelum senarai pasukan yang akan ke saingan eropah perlu dihantar kepada UEFA.

Nampaknya penamatan liga lebih awal bukanlah satu masalah besar kepada Perancis, bagaimana pula keadaannya jika saingan liga paling popular di dunia, Liga Perdana Inggeris dibatalkan dan kejuaraan disahkan menjadi milik Liverpool?

Advertisement

Must Watch Video