Skip to main content

Rencana

Pogba, Zidane bikin panas

cover-(1)-(1).jpg
Spekulasi mengaitkan bintang Perancis, Paul Pogba, berpindah ke Real Madrid kian menular sejak pengendali Los Blancos, Zinedine Zidane, memuji kemampuan pemain tengah itu beberapa bulan lalu.

Ditambah dengan abang Pogba, Mathias, yang sentiasa menyifatkan adiknya sebagai pemain yang paling sesuai untuk mengemudi barisan tengah skuad bimbingan Zidane itu, pemenang Piala Dunia itu jelas semakin hampir dengan jalan keluar daripada Manchester United.

Meskipun sudah mendapatkan beberapa bintang baru pada musim panas lalu seperti Rodrygo Goes, Ferland Mendy, Luka Jovic, Eder Militao serta bekas tonggak Chelsea, Eden Hazard, Zidane dilihat masih belum puas selagi Pogba belum disahkan membarisi pasukan kendaliannya itu.

Spekulasi itu mula reda selepas tamat jendela perpindahan Eropah awal bulan lalu, sekali gus menyaksikan Pogba bakal mengharungi kempen 2019-20 bersama United dan hanya akan menyertai Los Blancos pada Januari depan sekiranya perjanjian dicapai dalam masa terdekat.

Namun, kisah perpindahan Pogba ke Madrid dan minat Zidane terhadapnya sentiasa tiada kesudahan.



Baru-baru ini, ketika Pogba sibuk menjalani proses pemulihan kecederaan buku lali di Dubai dan Zidane berada di bandar sama untuk menghadiri satu acara persidangan sukan, kedua-duanya dilihat bertemu di sebuah pusat peranginan.

Menerusi gambar yang dipetik daripada Daily Mirror itu, Zidane yang hanya memakai kemeja-T dan seluar pendek dilihat berbual dengan Pogba, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai perpindahan buat bekas pemain termahal dunia itu.

"Saya sukakan Zidane dan dia berminat dengan adik saya, semua orang tahu tentangnya," itu kata Matthias sewaktu ditemu bual oleh Radio Marca, bulan lalu.

Justeru, tatkala United kian bergelut untuk mencapai prestasi terbaik dan bakal berdepan pendahulu liga serta seteru utama, Liverpool, hujung minggu ini, situasi yang berlaku di antara Pogba dan Zidane sudah tentu memberi kerisauan buat semua peminat The Red Devils.

Malah, mungkin ada penyokong United yang berang dengan pemenang Piala Dunia 2018 itu memandangkan dia seharusnya fokus dengan proses pemulihan di Dubai, bukan bertemu individu yang mampu mencetuskan pelbagai spekulasi dan kerisauan di Old Trafford.
 

Advertisement

Must Watch Video