Skip to main content

Rencana

PJ City jelmaan baru MPPJ FC?

safee-sergio-pj-city.jpg
Dari musim 2002 hingga 2006, Stadium Petaling Jaya merupakan gelanggang keramat buat kelab MPPJ FC dan ketika bergelar seorang wartawan muda ketika itu, penulis sempat membuat liputan pasukan itu.

Ketika itu, penulis berharap MPPJ mampu kekal lama kerana kelab itu jelas mempunyai potensi apabila berjaya muncul juara Piala Malaysia 2003 di bawah kendalian Dollah Salleh dan merupakan pasukan berstatus kelab pertama menjuarai piala berprestij tersebut.

Namun, malangnya MPPJ gagal mencapai potensi yang dimilikinya apabila ia dibubarkan pada 2006 dan sejak tahun itu juga, Stadium Petaling Jaya tiada penghuni tetap meskipun terdapat beberapa pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang kadang kala menyewa stadium tersebut untuk saingan Liga Malaysia.

Kini munculnya PJ City, sebuah kelab yang pada asalnya adalah pasukan Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA) bersama Majlis Sukan India Malaysia (MISC).

Perubahan struktur pengurusan pasukan menyaksikan ia kini ditadbir kumpulan syarikat pelaburan antarabangsa, QI dan bagi pengurusan kelab ia diterajui bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal sebagai Presiden Kelab PJ City FC.

Menurut Subahan, pengurusan kelab mempunyai perancangan untuk memperkasakan PJ City musim depan dan pada masa sama turut memberi fokus kepada pogram akar umbi.

"Sasaran kami adalah untuk mempunyai penyokong setia di kalangan warga Petaling Jaya, memandangkan kelab itu berpangkalan di bandar ini".

"Kami juga merancang untuk mengadakan pogram pembangunan membabitkan sekolah-sekolah di sekitar Petaling Jaya bagi memastikan terdapatnya pemain muda berpotensi yang boleh diserapkan ke skuad Piala Belia dan Presiden kami".

"Satu lagi objektif kelab ini adalah untuk turut memiliki bakat-bakat tempatan yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan juga India yang melambangkan kepelbagaian kaum negara kita," kata Subahan ketika dihubungi penulis baru-baru ini.

Meskipun baharu musim pertama di Liga Super, PJ City kini sudah berupaya untuk turut mempunyai skuad Piala Presiden dan Belia yang juga menjelmakan aksi meyakinkan setakat ini.

Selepas tujuh aksi Piala Presiden, barisan muda PJ City menghuni tangga kedua Kumpulan A dengan 15 mata, dua mata di belakang pendahulu iaitu Selangor, manakala skuad Bawah 19 tahun PJ City, menghuni tangga ketiga Kumpulan A.

Skuad utama PJ City kini mungkin sekadar di tangga ke-10 Liga Super namun, penulis percaya mereka akan kekal di kelompok elit musim depan meskipun berdepan cabaran sukar.

Penulis juga percaya, PJ City akan turut dibarisi lebih ramai nama besar tempatan dan import musim depan, sekaligus memberi cabaran kuat kepada kuasa besar Liga Super seperti JDT, Pahang dan Kedah.

Selamat maju jaya buat PJ City dan harap-harap jangkaan penulis benar, mereka adalah "Jelmaan baru MPPJ FC" yang akan terus mewarnai saingan bola sepak tempatan untuk jangka masa panjang.

Advertisement

Must Watch Video