“It's coming home… It's coming home…”
Bait-bait daripada lirik lagu ‘Three Lions’ nyanyian kumpulan pop British, Lightning Seeds, sempena Kejohanan Eropah 1996 itu kembali bergema sejurus England menyingkirkan Sweden 2-0, Sabtu lalu, untuk menempah slot separuh akhir Piala Dunia buat kali pertama selepas 28 tahun.
Ia kian nyaring di kota-kota besar di England menjelang pertemuan dengan Croatia, awal pagi Khamis ini, ketika sebahagian besar peminat bola sepak England yang sudah lama terhakis keyakinan terhadap pasukan kebangsaan mereka, tiba-tiba diselubungi keyakinan baru.
“It's coming home…” sebenarnya merujuk kepada hakikat bahawa ketika lagu itu kali pertama dikeluarkan, England di ambang menganjurkan Euro ’96 – kejohanan utama pertamanya selepas kejayaan menjuarai Piala Dunia di negara sendiri 30 tahun sebelumnya.
Kini, ia diberi makna baru sesuai dengan harapan menyaksikan simbol keagungan bola sepak dunia itu kembali ke England selepas penantian 52 tahun lamanya.
.jpg)
Mampukah mereka?
Skuad The Three Lions ternyata amat santai di sebalik keyakinan secara senyap-senyap ketika mereka mula mendarat di Russia hampir sebulan lalu.
Barisan yang dikemudi Gareth Southgate itu diiringi jangkaan realistik di mana penyingkiran di peringkat suku akhir akan dianggap sesuatu yang terhormat.
Namun, secara beransur-ansur, England membina momentum dan keyakinan sambil mereka beredar dari satu venue ke venue lain di Russia hinggalah persinggahan berikut mereka di Moscow selepas semangat mereka dilonjakkan oleh kemenangan selesa 2-0 ke atas Sweden dalam suku akhir, Sabtu lalu.
Kepercayaan England juga akan ditingkatkan oleh hakikat bahawa ketika ayam tambatannya, Harry Kane, sedikit menyepi ketika berdepan Sweden, pemain-pemain lain pula menonjolkan diri pada detik-detik genting.
Harry Maguire, yang menyerlah dalam dua perlawanan terdahulu England, membuka jaringan buat mereka sambil Dele Alli sudah menandakan kehadirannya dengan gol pentingnya di samping terdapat ramuan-ramuan tambahan untuk memberikan The Three Lions kepelbagaian.
England telah menyelinap ke pelbagai pelosok Russia dengan turut menghapuskan beberapa badi dalam laluannya.
Kemenangan mereka ke atas Russia adalah yang pertama dalam perlawanan pembukaan sebuah kejohanan utama sejak Paraguay ditewaskan dalam Piala Dunia 2006 di Jerman.
Seterusnya, kemenangan England ke atas Colombia dalam pusingan 16 bukan saja kemenangan pusingan kalah mati pertama mereka sejak 2002 tetapi juga kejayaan pertama mereka dalam penentuan sepakan penalti dalam Piala Dunia.
Statistik suram yang menyelubungi England sebelumnya satu-persatu diketepikan Southgate dan pemain-pemainnya yang kini mencapai mercu tanda baru dalam saingan peringkat tertinggi itu.
Namun, realitinya kekal bahawa England adalah sebuah pasukan ‘underdog’ di samping realiti juga mencadangkan pemenang Piala Dunia akan datang dari undian di sebelah lagi dalam pertemuan separuh akhir Belgium-Perancis – dua pasukan yang sarat dengan pemain berkelas dunia.
Piala Dunia kali ini, bagaimanapun, tidak menepati realiti apabila juara bertahan, Jerman, tersingkir di peringkat kumpulan lagi.
England, di sebalik segala cakap-cakap yang memperkecilkan mereka, harus berterima kasih kepada Southgate yang bukan sekadar mengemudi mereka dengan keyakinan dan ketenangan, malah memacu antara pasukan paling kurang berpengalaman hingga ke peringkat empat terakhir.
.jpg)
Southgate dan England berhak mendapat pujian sejauh ini dan kini jangkaan ke atas mereka akan terus meningkat setahap atau dua lagi.
England dan penyokongnya telah banyak menanggung sengsara dalam kejohanan utama -- malah menanggung aib dalam Piala Dunia di Brazil empat tahun lalu dan Euro 2016 – untuk membenarkan mereka memasang impian.
Dan impian itu kini beralih ke Stadium Luzhniki, Moscow, awal pagi Khamis ini.
Sementara itu, “It's coming home… It's coming home…” terus bersemangat dinyanyikan di jalanan dan pub di seluruh England.