Skip to main content

Advertisement

Rencana

Persaraan Xavi hangatkan pembukaan Stadium Al-Wakrah

xavi.jpg
"Midfield Maestro", itu antara gelaran yang diberikan kepada legenda bola sepak Sepanyol dan Barcelona, Xavi Hernandez.

Pemain berusia 39 tahun kelahiran Terrassa itu kini mendapat tumpuan menjelang aksi final Piala Emir 2019 di antara Al Sadd dan Al-Duhail, malam ini.

Apa tidaknya, perlawanan itu dikatakan bakal menjadi penampilan terakhir Xavi sebelum bersara sepenuhnya walaupun pasukannya, Al Sadd, masih beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2019.

Sudah pasti, pemain yang mempunyai 133 kap bersama Sepanyol dan lebih 500 kap bersama Barca itu mengharapkan penamat sempurna dalam kariernya sejak membuat penampilan pertama bersama gergasi Catalan itu pada 1998. 

Apa pun, menariknya, catatan sejarah itu mungkin terukir sempena pembukaan rasmi Stadium Al-Wakrah yang dianggap kejayaan penting untuk persiapan Qatar sebagai tuan rumah Piala Dunia 2022.

Stadium Al-Wakrah sebagai stadium baru yang dibina di negara itu merupakan venue kedua Piala Dunia 2022 yang akan dibuka selepas Stadium Antarabangsa Khalifa yang siap dinaik taraf pada 2017.

Stadium itu direka oleh Zaha Hadid dan menurut pereka, ia diilhamkan daripada kapal layar tradisional 'dhow', yang digunakan oleh penyelam mutiara untuk merentasi arus Teluk Parsi. 

Rekaan seni bina stadium yang futuristik itu menyerlahkan lagi keterujaan peminat terhadap Stadium Al-Wakrah yang turut menawarkan keselesaan bertaraf hotel lima bintang menerusi teknologi penyejuk di dalam stadium. 

Stadium berkapasiti 40 ribu penonton itu akan menjadi tuan rumah bagi perlawanan Piala Dunia 2022 sehingga peringkat suku akhir.

Advertisement

Must Watch Video