Skip to main content

Rencana

Permulaan positif buat Malaysia

malaysia-b-232.jpg
Skuad bola sepak bawah 23 tahun negara memulakan kempen pada temasya Sukan Asia ke-18 di Indonesia dengan langkah kanan selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas Kyrgyzstan dalam aksi pembukaan Kumpulan E di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung.

Kemenangan yang cukup penting ini diperoleh kurang 48 jam selepas mereka tiba di Bandung susulan perjalanan panjang dari Kuala Lumpur melibatkan transit di Jakarta sebelum mendaftar masuk di hotel penginapan pada malam Isnin.

Disusuli dengan satu hari sahaja tempoh untuk menjalani sesi latihan tetapi ia bukan penghalang buat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee untuk lepas halangan pertama berdepan Kyrgyzstan.

Untuk rekod, ini merupakan kali kedua Malaysia berdepan Kyrgyzstan di pentas Sukan Asia selepas edisi 2010 di Guangzhou dan ketika itu skuad kendalian Datuk K. Rajagobal melepasi peringkat kumpulan.

Lantas, kisah serupa pastinya diharapkan pada edisi kali ini apatah lagi persembahan terpuji dalam Kejohanan Piala AFC B-23 di Kunshan, China, Januari lalu dijadikan ukuran apabila Malaysia mara hingga ke suku akhir, tumpas kepada Korea Selatan.

Jadi siapa lawan Malaysia dalam aksi berikutnya? Korea Selatan.

Juara bertahan Sukan Asia itu pastinya menjadi pilihan utama dalam Kumpulan E apatah lagi menyenaraikan antara skuad terbaik mereka di samping kelibat tonggak senior seperti pemain Tottenham Hotspur, Son Heung Min.

Pertemuan kedua-dua pasukan esok bakal menentukan siapa yang dapat mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati jika tiga lagi mata dapat diraih.

Buat Malaysia, semestinya cabaran lebih besar untuk menyekat Korea Selatan daripada mempamerkan corak permainan sebenar mereka tetapi penulis percaya tempoh yang ada dapat dimanfaatkan sebaik mungkin anak didik Kim Swee untuk meningkatkan segala kelemahan serta menutup kekurangan yang ada.

Semoga satu lagi keputusan positif dapat memihak kepada Malaysia.
 

Advertisement

Must Watch Video