Skip to main content

Rencana

Perlu ada jiwa besar jika ke JDT, Boy

boy.jpg
Baru-baru ini, Nadi Arena melaporkan mengenai minat juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk mendapatkan khidmat pemain tengah Felda United, Danial Amier Norhisham.

Pengurusan The Fighters menerusi Setiasuaha Agungnya, Afizal Abu Othman, turut mengesahkan JDT membuat pertanyaan secara rasmi dengan kelab itu untuk mendapatkan khidmat Danial bagi saingan musim depan dan Felda bersikap terbuka untuk perbincangan lanjut.

Bagi penulis kita tidak boleh menafikan jika tidak berhijrah ke luar negara, JDT adalah destinasi terbaik buat mana-mana pemain tempatan kerana prasarana dimiliki kelab itu serta jaminan beraksi di saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL).

Namun, penulis mengharapkan Danial (atau lebih sinonim dengan panggilan Boy dalam kalangan rakan sepasukan) benar-benar bersedia untuk ke Harimau Selatan jika segala perbincangan antara Felda dan JDT menjadi kenyataan.

Ia kerana persaingan merebut tempat dalam kesebelasan utama serta skaud utama JDT cukup sengit jika dilihat kepada pemain sedia ada dalam skuad kendalian Benjamin Mora ketika ini.

Nazmi Faiz Mansor, Syamer Kutty Abba, Afiq Fazail, Natxo Insa serta kapten pasukan Hariss Harun adalah pemain sedia ada yang kini menghuni posisi tengah pasukan.

Danial juga perlu mempunyai jiwa yang besar untuk berjaya di JDT sebagai tonggak utama juara enam kali Liga Super itu.

Safawi Rasid adalah contoh pemain muda tempatan yang boleh dikatakan berjaya di JDT kerana kesungguhan serta komitmen tinggi selain mempunyai sikap berdaya saing dalam pasukan.

Danial perlu menjadikan Safawi sebagai contoh terbaik jika mahu berjaya di JDT dan pamer aksi konsisten setiap kali diturunkan.

Penulis percaya Danial mempunyai kemampuan daripada segi teknikal untuk berjaya di JDT meskipun sebelum ini dia pernah dihimpit beberapa masalah kecederaan.

Namun dengan segala kemudahan yang terdapat di JDT, masalah kecederaan mampu diatasi malah kita dapat lihat perubahan fizikal beberapa pemain seperti Safawi dan Akhyar Rashid sejak menyertai kelab itu.

Penulis mengucapkan selamat maju jaya buat Danial seandainya dia ke JDT dan jika berjaya di sana, ia pasti membuka ruang buat pemain kelahiran Kuala Lumpur itu dipanggil membarisi skuad senior kebangsaan dalam masa terdekat.

Advertisement

Must Watch Video