Skip to main content

Rencana

Perjuangan Indra belum selesai

indra-putra-mahayuddin.jpg
Biarpun muncul pemain pertama meraih 100 gol dalam saingan Liga Super, bekas penyerang kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin, masih belum memikirkan mengenai persaraannya.

Indra, yang kini bersama skuad Kuala lumpur, meraih jaringan ke-100nya dalam aksi Liga super berdepan PKNS FC di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu, namun jaringannya gagal membantu skuad Warga Kota itu daripada tumpas 2-3.

Kuala lumpur ketika ini menghuni tangga tercorot liga dengan lapan mata tetapi hanya dipisahkan menerusi perbezaan jaringan dengan Felda United dan PJ City serta hanya dua mata di belakang PKNP FC di tangga ke-10 liga ketika ini.

"Memang pengiktirafan menjadi pemain pertama meraih 100 gol satu kebanggaan dalam karier saya, tetapi ketika ini fokus saya adalah untuk memastikan Kuala Lumpur kekal dalam Liga Super.

"Kami tidak bernasib baik ketika bedepan PKNS apabila dibolosi jaringan awal lawan, namun saya memberi jaminan setiap pemain Kuala Lumpur akan berjuang habis-habisan bagi memastikan kami kekal di Liga Super musim depan," kata Indra ketika dihubungi penulis baru-baru ini.

Penulis mengenali pemain kelahiran Ipoh itu sejak mula menceburi bidang kewartawanan sukan sekitar tahun 2003 dan ketika itu, Indra dilihat antara permata baru bola sepak negara.

Bagi penulis, pemain-pemain skuad Kuala Lumpur harus menjadikan pencapaian kapten mereka itu sebagai sumber inspirasi dalam perjuangan untuk memastikan mereka tidak jatuh ke saingan Liga Perdana musim depan.

Penulis juga berharap, bintang-bintang muda Liga Super kini seperti Safawi Rasid, Syahmi Safari dan Adam Nor Azlin dapat menjadikan Indra sebagai contoh terbaik.

Bukan mudah buat seorang pemain kekal beraksi di peringkat kompetitif biarpun mencecah usia 38 tahun musim ini, tetapi Indra dapat melakukannya dengan berkat komitmen, disiplin dan semangat yang tinggi untuk kekal beraksi di peringkat tertinggi.

Ramalan penulis, Indra akan berjaya mengetuai skuad Kuala Lumpur untuk keluar daripada zon penyingkiran dan kekal dalam saingan Liga Super musim depan, biarpun ia bukan tugasan mudah buatnya.

Tahniah penulis ucapkan buat Indra di atas kejayaan meraih gol ke-100 Liga Super dan semoga mampu juga meraih kejayaan bersama skuad Kuala Lumpur biarpun mengharungi musim yang sukar tahun ini.

Advertisement

Must Watch Video