Skip to main content

Rencana

Perjuangan belum selesai buat OKS dan Harimau Malaysia

malaysiad4405c083d81604aa734ff0000212b38.jpg
Skuad kebangsaan bimbingan Datuk Ong Kim Swee menepati ramalan untuk melepasi saingan Play Off Piala Asia dengan mengetepikan cabaran Timor Leste 6-0 secara agregat.

Apa pun, bagi penulis perjalanan masih jauh buat barisan negara.

Saingan Piala Suzuki AFF menanti pada hujung tahun ini, selain cabaran di pusingan ketiga kelayakan Piala Asia pada tahun depan.

Selain itu, skuad negara wajib merakam keputusan positif dalam siri aksi persahabatan di Oceania, berdepan lawan di ranking dunia FIFA lebih rendah daripada skuad kebangsaan.

Barisan negara dijadual berdepan Papua New Guinea ( ranking 193) pada 17Jun, New Caledonia ( ranking 183)  22 Jun dan Fiji ( ranking 186) pada 26 Jun.

Seterusnya aksi persahabatan berdepan jiran serantau seperti Singapura, Indonesia, Thailand dan Myanmar sedang dirangka Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada bulan September dan Oktober depan.

Jika berjaya merakam keputusan positif dalam kesemua aksi tersebut dan juga di Piala Suzuki AFF, ia pasti akan memperbaiki ranking skuad negara.

Kedudukan ranking lebih baik daripada sekarang (ranking 173), merintis kemungkinan buat barisan negara mendapat undian lebih seimbang pada saingan kelayakan pusingan ketiga Piala Asia tahun depan.

Tidak dinafikan, ketika Kim Swee diberi kepercayaan selaku pengendali tetap kebangsaan Januari lalu, terdapat pelbagai reaksi berbeza terhadap jurulatih kelahiran Melaka itu.

Ia susulan rentetan kegagalan bersama skuad B23 tahun kebangsaan, di Sukan Sea 2013 Myanmar dan 2015 Singapura, selepas kejayaan meraih emas di Jakarta pada 2011.

Namun, berlandaskan pemerhatian penulis selepas seminggu bersama barisan negara di Johor Bahru untuk saingan play off Piala Asia, petanda peningkatan sudah kelihatan.

Kemasukan beberapa muka baru dan pemain yang lama tersisih daripada skuad kebangsaan seperti Khair Jones, Amirulhadi Zainal dan Christie Jayaseelan tampak memberi nafas baru buat pasukan.

Memang benar masih tiada jaminan Kim Swee akan berjaya, namun sikap waspada dan rendah diri bekas pertahanan kebangsaan ini selepas melepasi cabaran Timor Leste amat dialukan.

Bagi penulis, hanya kejayaan di Piala Suzuki AFF dan kemaraan ke pusingan akhir Piala Asia 2019 dapat mengembalikan keyakinan peminat dan memulihkan semula imej negara di  peringkat antarabangsa.

Hanya dengan mencapai dua kejayaan itu juga, Kim Swee dapat menempelak sepenuhnya tanggapan sangsi sesetengah pemerhati bola sepak tempatan terhadapnya.
 

Advertisement

Must Watch Video