SEPAK TAKRAW
Penyokong Malaysia Awesome!
Sekali lagi Stadium Titiwangsa bergema dengan sorakan ribuan penyokong tegar sepak takraw yang datang beri sokongan di kejohanan Piala Asia ASTAF 2025
Selepas cemerlang dengan kilauan emas pertama menerusi acara quadrant. Kali ini pingat emas kedua muncul pula menerusi Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Farhan Adam.
Acara regu yang menjadi tumpuan rakyat Malaysia menyaksikan trio ini berjaya menebus kekecewaan double negara yang tumpas 1-2 kepada seteru utama Thailand.
Iklan
Namun, apa yang membuat saya lebih terharu ialah semangat penyokong yang datang dari seluruh negeri.
Tanpa mengira bangsa dan agama, muda dan juga tua. Saya melihat kesatuan dan semangat berkobar-kobar terserlah ketika menyokong pasukan Malaysia.
Dan saya berani katakan, sorakan para penyokong juga antara kunci kejayaan regu negara menewaskan musuh tradisi Thailand.
Bermula dengan kiraan kosong-kosong, penyokong tak henti-henti beri sorakan tanpa ada sedikit pun ruang untuk berdiam.
Walaupun ada diantara penyokong yang berdiri dari awal permainan namun mereka tetap setia dan tetap lontarkan suara sebagai tanda sokongan.
Saya juga akui dalam banyak-banyak sukan yang saya pernah saksikan secara fizikal, sukan sepak takraw antara yang tak pernah mengecewakan.
Kini dua pingat emas sudah dalam genggaman tetapi perjuangan masih belum selesai apabila satu lagi acara yang turut disasarkan pingat emas akan berlangsung iaitu regu berpasukan.
Dengan itu, saya berharap kepada rakyat Malaysia agar dapat turun beramai-ramai untuk memenuhi ruangan Stadium Titiwangsa untuk beri sokongan kepada pasukan sepak takraw negara.
Must-Watch Video