Skip to main content

Rencana

Pengurusan Kedah FA perlu bertindak sekarang

010517kedah.jpg
Perlawanan akhir Piala FA 2017, Sabtu lalu, berlangsung dengan dramatik di mana kedua-dua pasukan menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi serta disiplin taktikal yang baik dan kualiti bola sepak yang menghiburkan. 

Inilah satu harapan yang diinginkan oleh semua rakyat Malaysia apabila semangat juang yang dipamerkan oleh pemain-pemain begitu tinggi.

Memang sudah dijangka ia akan menjadi satu perlawanan akhir yang menghiburkan apabila semua sudah maklum dengan kualiti kedua-dua pasukan ini dengan falsafah permainan bola sepak tersendiri yang akan disajikan dan diterapkan oleh kedua-dua jurulatih. 

Namun, yang paling menarik apabila pasukan Pahang menukar strategi permaianan mereka.

Ini kita dapat lihat apabila permainan dimulakan sahaja, pemain-pemain hadapan Pahang terus memberi tekanan awal, diikuti pemain-pemain tengah di mana mereka menutup ruang supaya pasukan Kedah tidak dapat mengamalkan falsafah permainan mereka. 

Begitu positif karakter pemain-pemain pasukan Pahang ini walaupun Kiko Insa dibuang padang, namun 10 pemain yang ada menunjukan semangat juang yang tinggi.

Sikap begini yang perlu dipuji walaupun mereka kekurangan pemain, namun tidak ada erti kalah dalam jiwa pemain-pemain Pahang sehingga tiupan wisel terakhir dibunyikan.

Penulis ingin mengucapkan tahniah kepada pemain-pemain Kedah dan jurulatih mereka yang berjaya menjulang Piala FA 2017 dan yang paling penting, Kedah akan membawa cabaran dalam Piala AFC tahun hadapan. 

Tugas yang mencabar akan dilalui pemain-pemain Kedah tahun hadapan tetapi yang lebih penting, bagaimana persiapan akan dilakukan oleh pengurusan pasukan Kedah untuk mempersiapkan pasukan Lang Merah nanti. 

Pengurusan Kedah perlu berfikir dari sekarang dan tidak boleh menunggu sehingga tamat Liga Malaysia untuk memikirkan tentang kontrak pemain dan juga dana untuk menguruskan pasukan. 

Janganlah menunggu sehingga saat-saat akhir untuk membuat keputusan dan mengambil langkah sewajarnya. 

Kepada pemain-pemain Kedah, teruslah fokus untuk membawa satu lagi cabaran pada tahun hadapan sementara kepada pemain-pemain Pahang, jangan berputus asa kerana banyak lagi cabaran untuk diharungi. 

Sekali lagi penulis ingin mengucapkan tahniah kepada pemain kedua-dua pasukan Kedah dan Pahang.

Advertisement

Must Watch Video