Skip to main content

Rencana

Pengurus kena pandai main angin

cover-foto.jpg
Susuk seorang pengurus hari ini memerlukan pengetahuan yang lengkap dalam soal menguruskan sekumpulan manusia.

Baik menyentuh aspek atas padang mahupun di luar padang, ia kini harus seimbang.

Ia senario berbeza pada era 10 tahun lalu kerana pengurus mempunyai kuasa besar dalam menentukan soal perjalanan karier seseorang pemain.

Mereka lebih cenderung untuk bertindak tegas dan kadang-kadang berperanan melebihi seorang bapa bagi memastikan anak buahnya mampu berada dalam prestasi terbaik.

Jika tidak, mereka tidak lebih daripada sekadar jurulatih.

Pada hari ini pula, selain aspek disiplin, seseorang pengurus perlu berkemahiran untuk mendekati pemain atau berdepan risiko hilang kawalan di dalam bilik persalinan.

Pengurus bereputasi tinggi seperti Jose Mourinho misalnya, lebih tenang ketika memberi arahan di tepi padang.

Dia masih tidak lekang dengan reaksi gila-gila tetapi apabila menyentuh perihal anak buahnya, dia bersedia untuk mengendurkan nadanya.

Barangkali pengalaman seperti di Manchester United telah mengajar pengurus yang sudah mencecah 57 tahun itu supaya bertindak lebih diplomasi.

Lagipun maklum sahajalah, sejarahnya bersama Chelsea membuatkan pemain-pemain Spurs masih berdendam hingga pemain tempatan seperti Dele Alli pernah lantang mengkritik.

Tetapi siapa sangka mereka akhirnya akan bekerjasama.

Ia turut berlaku kepada beberapa pengurus seperti Zinedine Zidane, Ole Gunnar Solskjaer dan Antonio Conte.

Menerusi laman sesawang Football-Italia.com, Conte memuji penyerang Inter Milan yang dalam prestasi memukau ketika ini, Romelu Lukaku, atas sumbangan jaringannya tetapi tidak berselindung bahawa penggempur dari Belgium itu masih perlu berlatih lebih gigih lagi untuk mendapatkan bentuk fizikal yang idea.

Begitu juga dengan pengurus Real Madrid, Zidane.





Dia menyelar tindakan sebilangan penyokong sendiri yang mengejek Marcelo. Biarpun sedar penurunan prestasi pertahanan Brazil itu sejak musim lalu, pengendali tersebut enggan perkara berkenaan berlarutan dengan melahirkan keyakinannya terhadap anak buahnya itu di sebalik prestasi Ferland Mendy yang lebih menyerlah.

"Marcelo telah mencurahkan segala kudratnya selama ini. Pisau dihunuskan apabila kami kalah, semuanya mulai dinilai.

"Adalah penting untuk pemain memberikan usaha 100 peratus dan dia telah melakukannya.

"Dia adalah pemain penting dalam tempoh beberapa tahun ini dan saya berpendapat dia akan tetap begitu sehingga habis musim ini," kata Zidane kepada goal.com semalam sambil meluahkan pandangan serupa terhadap Isco dan Gareth Bale.

Pengurus United, Solskjaer, juga tidak terkecuali apabila mempertahankan kelibat Anthony Martial yang gagal menampung ketiadaan Marcus Rashford yang tercedera.

Martial mendapat kritikan hebat gara-gara gagal menyerlah keitka diberi harapan untuk menggalas peranan utama.

Pengurus Norway itu menyimpulkan kelesuan akibat banyak terbabit dalam perlawanan sebagai puncanya.

Lihatlah nasib Niko Kovac di Bayern Munich ekoran meminggirkan pemain berpengaruh, Thomas Muller, termasuk Unai Emery yang gagal mengekalkan jawatannya di Arsenal kerana perbalahan dengan pemain senior.




Begitupun, ada juga pengurus yang masih mampu tersenyum ketika dipermainkan bintang sendiri.

Jurgen Klopp bertindak menyingkirkan Mamadou Sakho selepas pertahanan dari Perancis itu berseloroh mengenai berapa lamakah pengurus berbangsa Jerman berkenaan akan bertahan di Liverpool.

Tidak lama selepas itu, Sakho dibekukan di bangku simpanan sebelum dijual.

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found