Skip to main content
ligasuper

Jom Undi Gol Terbaik Liga Super Sekarang!

Rencana

Pengembaraan pertama ke Rio

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

rio-2016-final-opening-ceremony-rehearsal-a-disaster-director-says.jpg

Sukan Olimpik Rio pasti akan saya kenang sepanjang hayat saya, kerana ia adalah pembabitan pertama saya membuat liputan di temasya Sukan Olimpik.

Meskipun acap kali membuat liputan di beberapa temasya dan kejohanan antarabangsa sebelum ini, ia tidak sama dengan Sukan Olimpik.

Namun, pelbagai cabaran membuat liputan di bumi Brazil malah untuk sampai ke Rio de Janeiro juga satu cabaran. Ini juga kali pertama saya menjejak kaki ke negara terbesar Amerika Selatan ini.

Saya dan jurukamera Azri Abdul Malik adalah antara kumpulan awal Astro Arena untuk tiba di Rio pada 20 Julai lalu.

Untuk ke Rio, saya perlu mengharungi perjalanan 12 Jam ke London terlebih dulu sebelum menaiki penerbangan transit selama 12 jam lagi dari Lapangan Terbang Heathrow ke Rio.

Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Rio, saya dapati kawalan keselamatan begitu ketat yang dikawal anggota tentera Brazil.

Sebelum ke Rio, sudah pasti saya melakukan sedikit kajian mengenai Brazil bagi memastikan saya bersedia daripada segi mental untuk menghadapi sebarang kemungkinan di sini.

Umum mengetahui, kadar jenayah yang begitu tinggi di bandaraya Rio dan kita perlu sentiasa waspada apabila berjalan di waktu malam.

Namun, selepas dua minggu di Brazil petugas keselamatan tampak menjalankan tugas dengan baik walaupun terdapat juga beberapa kes jenayah dilaporkan media asing.

Masalah utama di Rio, sudah pasti bahasa kerana sebahagian besar warga Brazil tidak boleh bertutur dalam bahasa Inggeris.

Berbekalkan pengalaman sebelum ini, saya menggunakan aplikasi terjemahan bahasa di telefon bimbit saya selain daripada mempelajari beberapa perkataan dan ayat dalam bahasa Portugis.

Salah satu tarikan apabila ke Rio, sudah pasti "Favellas" iaitu kawasan rumah setinggan  yang unik selain patung Christ The Redemer dan pantai Copacabana.

Daripada segi penganjuran, jawatankuasa penganjur Sukan Olimpik Rio sentiasa cuba perbaiki sebarang kelemahan dari masa ke semasa.

Namun, apa yang setakat ini masih gagal diatasi adalah harga makanan dan minuman yang mahal di venue pertandingan dan juga Pusat Penyiaran Antarabangsa (IBC) dan Pusat Akhbar Utama (MPC).

Ini juga kali pertama saya membuat liputan di temasya sukan besar yang langsung tidak menyediakan sajian makanan halal buat petugas media.

Apa pun, tinjauan Nadi Arena di perkampungan sukan mendapati ia dilengkapi prasarana lengkap dan tiada rungutan daripada atlit kita.

Obor Olimpik sudah pun dinyalakan di Stadium Maracana, sudah pasti kita mengharapkan temasya kali ini menyaksikan kilauan emas pertama negara di Sukan Olimpik selain penganjuran yang berjaya daripada tuan rumah.

Ayuh Datuk Lee Chong Wei, Azizulhasni Awang,Pandelela Rinong dan atlit lain, pastikan jalur gemilang berkibaran megah serta Lagu Negaraku berkumandang.

Advertisement

Must Watch Video