Skip to main content

Rencana

Pendahulu Krismas EPL

liverpool.jpg
"Nasib Berbeza Kali Ini?"

Saingan Liga Perdana Inggeris 2018/2019 menuju ke pertengahan musim dengan tempoh paling getir buat semua pasukan iaitu ketika sambutan Krismas.

Menuju sambutan Krismas musim ini, Liverpool tampil gah mendahului pasukan lain di tangga teratas liga.

Jika tradisi sebelum ini dijadikan ikutan, pasukan yang mendahului liga sewaktu sambutan Krismas akan menjulang trofi kejuaraan di penghujung musim.

Tetapi dalam tempoh sedekad yang lalu, hanya dua kali sahaja ia tidak berlaku dan membabitkan pasukan yang sama.

Siapa? Sudah tentu Liverpool!

Imbas kembali musim 2008/2009, Liverpool ketika itu di puncak liga sewaktu Krismas tetapi rentak itu gagal diteruskan di penghujung musim apabila dipintas Manchester United dengan perbezaan 4 mata.

Manakala pada musim 2013/2014, The Reds yang diterajui Steven Gerrard tampil antara pasukan konsisten menuju sambutan Krismas tetapi malangnya kesilapan kapten mereka itu sewaktu menentang Chelsea di beberapa aksi terakhir liga membuka peluang buat Manchester City untuk memintas dan muncul juara liga dengan hanya 2 mata memisahkan kedua-dua pasukan ini.

Kini sekali lagi Liverpool berada di tangga teratas semasa sambutan Krismas, tetapi adakah mereka akan mengulangi "pencapaian" untuk tidak muncul juara saingan kali ini?

Walaupun cabaran masih berbaki setengah musim, ketika ini hanya Liverpool dan Manchester City dilihat punyai kekuatan seimbang dalam perebutan kejuaraan.

Dengan tumpuan juga akan diberikan kepada kempen Liga Juara-Juara Eropah, sebarang kesilapan yang berlaku akan menyaksikan pasukan lain mengambil kesempatan untuk rapatkan kedudukan.

Apa yang pasti, Liverpool semestinya tidak mahu kegagalan lalu untuk terus menimpa mereka dalam buruan merangkul gelaran Liga Perdana Inggeris untuk menyaingi pasukan yang paling berjaya dalam saingan ini iaitu Manchester United.

Advertisement

Must Watch Video