Skip to main content

Rencana

Pemilihan berlandaskan prestasi semasa

malaysia-2019.jpg
Pengendali kebangsaan, Tan Cheng Hoe, menamakan  24 pemain untuk skuad negara dalam aksi sulung kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dengan Indonesia 5 September ini berlandaskan prestasi semasa.

Penulis tiada rungutan dengan pemilihan Cheng Hoe untuk skuad kali ini meskipun barisan negara tumpas 1-0 kepada Jordan dalam aksi persahabatan pada 30 Ogos lalu.

Ia kerana barisan negara tetap menunjukan gerakan dan aksi keseluruhan yang memuaskan berdepan lawan di ranking dunia lebih tinggi.

Memang kita ketandusan penyerang namun, tugas meledak gol seharusnya dipikul secara kolektif oleh semua pemain dan pemain di posisi sayap seperti Safawi Rasid serta jentera tengah seperti Nor Azam Azih juga perlu menyempurnakan peluang gol yang dicipta pasukan.

Penulis optimis kita mampu membawa pulang keputusan positif daripada aksi sulung Kumpulan G di Stadium Gelora Bung Karno kelak dengan barisan kali ini.

Kelibat tonggak tengah Perak, Brendan, Gan ketika berdepan Jordan tampak cukup untuk memuaskan hati Cheng Hoe biarpun pemain berdarah kacukan itu tersisih tiga tahun daripada skuad negara kerana kecederaan sebelum ini.

Selain Brendan, penulis percaya tiga lagi muka baru iaitu Danial Amier Norhisham, Hadin Azman dan J.Partiban pasti menambah ramuan Cheng Hoe mencanang barisan terkuat yang mampu menangani Indonesia.

Berlandaskan laporan media Indonesia, penulis percaya skuad Garuda seakan lebih terdesak untuk meraih kemenangan di laman sendiri 5 September depan.

Jika tidak, mengapa Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) turut membariskan lima pemain naturalisasi baru menghadapi cabaran Harimau Malaya kali ini.

Penulis turut percaya, barisan kali ini tidak akan gentar beraksi di Gelora Bung Karno kerana daripada segi pengalaman mereka tampak seimbang.

Apa yang penting, setiap pemain yang diturunkan Cheng Hoe melaksanakan segala perancangan taktikalnya di atas padang.

Kepada barisan negara, “Selamat Berjuang dengan Semangat Hari Kemerdekaan ke-62”.

Jika setiap pemain memberi aksi terbaik dalam setiap perlawanan Kumpulan G, penulis percaya kita akan mara jauh dalam saingan kelayakan Piala Dunia kali ini dengan sasaran ke Piala Asia kekal sasaran utama yang realisistik.
 

Advertisement

Must Watch Video